KOTA KINABALU: Kupi-Kupi FM Sabah hari ini mengumumkan pelantikan Deedee Cassandra Dallius sebagai penyampai baharu stesen radio itu bagi mengisi segmen pagi popular, Morning Kinabalu.
Menerusi pelantikan berkenaan, Deedee Cassandra Dallius menggantikan penyampai terdahulu, Niz, dan bakal digandingkan bersama Felix dalam segmen Morning Kinabalu yang bersiaran dari jam 6 pagi hingga 10 pagi, bermula 5 Januari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Ooga X, Lester Miol berkata, pengambilan penyampai baharu itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan KupiKupi FM Sabah dalam melahirkan bakat baharu dalam dunia penyiaran radio tempatan, khususnya di Sabah.
Menurut beliau, Deedee Cassandra Dallius dipilih berdasarkan bakat, personaliti serta kebolehan semula jadi yang diyakini mampu membawa kelainan dan kesegaran kepada segmen pagi berkenaan.
“Pengambilan Deedee adalah untuk memberi peluang kepada bakat baharu berkembang. Beliau sememangnya berbakat dan kami percaya kehadirannya akan memberi suntikan segar kepada pendengar setia KupiKupi FM,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa KupiKupi FM Sabah kekal komited dalam melahirkan penyampai baharu yang bukan sahaja menghiburkan, malah mampu membina hubungan dekat dengan pendengar melalui pendekatan santai dan berteraskan budaya tempatan.
Selain bergelar penyampai radio, Deedee Cassandra Dallius juga merupakan Unduk Ngadau Ranau serta pernah mencipta pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Naib Johan (2nd Runner-Up) Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2022.
Sementara itu, gandingan Felix dan Deedee dilihat mampu membawa vibe baharu yang lebih padu, mantap dan menghiburkan, selari dengan identiti Morning Kinabalu yang dekat di hati pendengar Sabah.
KupiKupi FM Sabah turut mengekalkan barisan penyampai tetap sedia ada iaitu Velvet, Nera, Felix, Darel dan Boy Vanz yang terus menjadi tunjang kepada kandungan radio stesen berkenaan.
Dengan slogan ‘Kita kita juga baini’, KupiKupi FM Sabah akan terus menyajikan kandungan radio yang segar, lokal dan dekat dengan jiwa masyarakat Sabah. – pr/BNN





