KOTA KINABALU: Kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan di Parlimen Sepanggar baru-baru ini disifatkan sebagai antara yang paling teruk sejak sekian lama, sehingga memaksa ramai penduduk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud berkata, situasi itu memberi kesan besar kepada kehidupan penduduk setempat, khususnya mereka yang mengalami kerugian ribuan ringgit akibat bencana berkenaan.

Menurutnya, usaha penyelesaian jangka sederhana dan panjang sedang dilaksanakan menerusi Projek Tebatan Banjir Rampayan yang kini dalam pelaksanaan, selain pengumuman peruntukan bagi Projek Tebatan Banjir Rampayan Fasa 2 oleh Perdana Menteri.

“Projek ini adalah kesinambungan kepada usaha menangani masalah banjir secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi kepada penduduk di kawasan terlibat,” katanya dalam posting di Facebooknya, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah & Sarawak) itu berkata, isu banjir kekal menjadi keutamaan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar yang akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak kontraktor bagi meneliti langkah penambahbaikan yang diperlukan.

Beliau menegaskan, pemantauan rapi akan dibuat bagi memastikan projek sedia ada berjalan lancar, selain perancangan susulan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat.

“Saya cukup terkesan dan memahami keluhan serta kemarahan rakyat yang terjejas. Setiap kali turun ke kawasan, saya secara peribadi akan berhadapan dengan pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan projek tebatan banjir ini dapat diselesaikan secara tuntas, ‘once and for all’,” katanya.-pr/BNN