KOTA KINABALU: KPJ Sabah Specialist Hospital mencipta sejarah apabila menjadi hospital swasta pertama di Sabah yang berjaya melaksanakan prosedur Awake Craniotomy, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam bidang pembedahan saraf khusus di negeri ini.

Prosedur bersejarah dikenali sebagai Right Awake Craniotomy dan Debulking of Tumour itu berjaya dijalankan pada 5 Januari 2026 dan mengambil masa kira-kira dua jam.

Pembedahan tersebut diketuai oleh Pakar Bedah Saraf, Dr Ananda Arumugam, dengan sokongan Dr Aldred Soo, Pakar Anestesiologi, Rawatan Kritikal dan Pengurusan Kesakitan, serta pasukan pembedahan pelbagai disiplin yang berpengalaman.

Keunikan prosedur ini ialah pesakit wanita berusia 39 tahun berada dalam keadaan sedar sepenuhnya sepanjang pembedahan dijalankan.

Sepanjang prosedur, pesakit mampu berkomunikasi dengan baik, menyanyikan lagu kanak-kanak “Twinkle Twinkle Little Star”, mengenal pasti imej yang dipaparkan melalui iPad serta mengucapkan penghargaan kepada pasukan perubatan ketika pembedahan berlangsung.

Awake craniotomy merupakan teknik pembedahan saraf yang sangat khusus dan lazimnya dilakukan apabila ketumbuhan otak berada berhampiran kawasan kritikal yang mengawal pertuturan, pergerakan dan fungsi kognitif.

Dengan mengekalkan pesakit dalam keadaan sedar, pakar bedah dapat memantau fungsi otak secara langsung dan berterusan, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan pada kawasan penting otak.

Menurut Dr Ananda, interaksi pesakit sepanjang prosedur amat penting bagi memastikan keselamatan serta hasil rawatan yang optimum.

“Dengan melibatkan pesakit semasa pembedahan, kami dapat memantau fungsi neurologi secara berterusan dan memelihara kawasan otak yang kritikal sambil merawat ketumbuhan dengan lebih selamat dan berkesan,” katanya.

Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan KPJ Sabah Specialist Hospital dalam memperkukuh kecemerlangan perubatan melalui pelaburan dalam kepakaran khusus dan penggunaan teknologi perubatan canggih yang berfokuskan pesakit.

Pencapaian tersebut turut mengukuhkan peranan KPJ Sabah Specialist Hospital sebagai penyedia perkhidmatan rawatan tertiari yang dipercayai di Sabah dan rantau sekitarnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan atau temu janji, orang ramai boleh menghubungi talian +6088 322 000 atau melalui WhatsApp di +60 11-1318 5131.-BNN