KINABATANGAN: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 10 Januari 2026 (Sabtu) sebagai Hari Penamaan Calon (HPC) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag, Sabah.

Menurut SPR, penyerahan kertas penamaan calon hendaklah dibuat dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Pusat Penamaan Calon (PPC), Dewan Sri Lamag, Kinabatangan.

Penyerahan kertas penamaan calon boleh dilakukan oleh calon bersama pencadang dan penyokong, atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau seorang sahaja daripada individu berkenaan.

SPR turut menyarankan bakal calon supaya mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum hari penamaan calon.

Pembayaran deposit juga digalakkan dibuat lebih awal, dan resit pembayaran perlu dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti.

Bagi calon yang mewakili parti politik, mereka diwajibkan mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti semasa penyerahan kertas penamaan calon.

Dalam pada itu, calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya adalah tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).

SPR menyeru semua bakal calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika serta arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PBT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan teratur, lancar dan harmoni.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Datuk Khairul Shahril Idrus, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, pada 8 Januari 2026 bersamaan 18 Rejab 1447H. – pr/BNN