KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee menegaskan bahawa perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah mencapai kemenangan besar apabila kedudukannya kini dimuktamadkan dan tidak lagi boleh dipertikaikan, sekali gus menuntut tumpuan penuh diberikan kepada aspek pelaksanaan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.

Beliau berkata, selepas lebih 16 tahun memperjuangkan MA63 secara konsisten, termasuk melalui pelbagai saluran politik dan kempen awam, isu itu kini bukan lagi soal pengiktirafan tetapi pematuhan sepenuhnya terhadap hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam perjanjian bersejarah berkenaan.

“MA63 tidak lagi terbuka untuk diperdebatkan. Ia telah dimuktamadkan demi kepentingan Sabah. Apa yang tinggal sekarang ialah pelaksanaan yang menyeluruh dan berkesan. Kegagalan mematuhinya akan mencetuskan rasa tidak puas hati rakyat, manakala pelaksanaan yang berjaya akan mengukuhkan kestabilan serta keharmonian Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yong menjelaskan, tumpuan terhadap MA63 mula diketengahkan secara terbuka oleh SAPP ketika Pilihan Raya Kecil Batu Sapi pada Oktober 2010, apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu akhirnya terpaksa mengiktiraf MA63 sebagai isu nasional yang sah.

Menurut beliau, walaupun SAPP tidak memenangi pilihan raya kecil berkenaan, kempen tersebut berjaya membawa MA63 ke arus perdana nasional sehingga hari ini, apabila semua parti politik di Malaysia mengakui kepentingannya dalam struktur Persekutuan.

Beliau turut mengimbas perkembangan politik selepas Pilihan Raya Umum 2008 apabila BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, sekali gus membuka ruang baharu kepada Sabah dan Sarawak untuk menuntut hak masing-masing apabila sokongan Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri itu menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan Persekutuan.

“Pergantungan itu kemudiannya membawa kepada penubuhan sebuah kementerian khas bagi menyelia pematuhan MA63, sekali gus mencerminkan pengiktirafan terhadap kepentingan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai daya tahan perjuangan politik parti, Yong berkata SAPP sejak awal memberi penekanan kepada pembinaan kepimpinan jangka panjang melalui latihan belia dan pemupukan bakat muda.

Katanya, separuh daripada Ahli Majlis Tertinggi (AMT) SAPP hari ini adalah graduan kem belia parti yang dianjurkan lebih 25 tahun lalu, membuktikan keberkesanan perancangan strategik parti dalam melahirkan pemimpin pelapis.

“Sebahagian daripada pemimpin muda ini akan muncul sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah pada masa depan, sekali gus memperkukuhkan keupayaan parti untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih berkesan,” katanya.

Yong turut menegaskan bahawa perjuangan politik Sabah merupakan satu “perarakan panjang” yang menuntut kesabaran dan ketekunan, dengan banyak isu utama hanya dapat direalisasikan selepas bertahun-tahun kempen berterusan.

Sebagai contoh, katanya, pengisytiharan Hari Sabah pada 2022 hanya tercapai selepas 12 tahun kempen tahunan di beberapa lokasi utama termasuk Kota Kinabalu, Kundasang dan Kota Marudu, manakala laporan Nahas Udara Double Six pula hanya dinyahklasifikasikan pada 2023 selepas 13 tahun peringatan tahunan di Tugu Peringatan Double Six, Sembulan.

Beliau berkata, kempen Borneonasasi perkhidmatan awam juga mengambil masa lebih sedekad sebelum menunjukkan pematuhan ketara, dengan kebanyakan jabatan Persekutuan di Sabah kini diterajui oleh rakyat Sabah sendiri.

Selain itu, satu kes semakan kehakiman berkaitan MA63 yang difailkan pada 2012 dan dibawa ke Mahkamah Persekutuan pada 2015, walaupun tidak mendapat kebenaran mahkamah, telah membuka mata ramai penjawat awam Sabah untuk menuntut hak mereka di bawah MA63.

Menghadapi baki dekad ini sehingga 2030, Yong menegaskan masih terdapat tiga perjuangan teras yang perlu diselesaikan sepenuhnya, iaitu pengembalian Labuan kepada Sabah, pengeluaran IC Sabah, serta pelaksanaan reformasi tanah demi kepentingan rakyat negeri ini.

Katanya, isu-isu berkenaan memerlukan keazaman politik yang berterusan dan sokongan rakyat agar hak Sabah dapat ditegakkan secara adil dan berpanjangan.

Dalam pada itu, Yong berkata fasa pelaksanaan MA63 perlu disertai dengan kefahaman mendalam terhadap geoekonomi Sabah, memandangkan negeri ini tidak terasing daripada perubahan dan pergolakan global.

Beliau mengingatkan bahawa tatanan dunia baharu sedang terbentuk, undang-undang antarabangsa ditulis semula, manakala hubungan ekonomi dan perdagangan semakin dipersenjatai oleh kuasa-kuasa besar, termasuk penggunaan teknologi, tenaga dan makanan sebagai alat tekanan terhadap penduduk awam.

“Walaupun Malaysia sebagai sebuah negara kecil tidak mampu mengawal perubahan global ini, Sabah boleh menyesuaikan diri, meningkatkan daya saing, menegaskan hak wilayah serta terlibat secara berkesan dalam hubungan ekonomi serantau dan antarabangsa,” katanya.

Menurut Yong, pemahaman terhadap trend global itu amat penting bagi memastikan pertumbuhan dan kemakmuran jangka panjang Sabah dalam landskap ekonomi dunia yang semakin mencabar.-pr/BNN