KOTA KINABALU: Sabah sentiasa mengalu-alukan kehadiran dan sokongan pelabur antarabangsa berwibawa yang mampu membawa nilai tambah kepada pembangunan
industri tenaga, minyak dan gas negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri
komited menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil, kondusif dan berdaya saing
bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, khususnya dalam sektor tenaga dan minyak.

“Kerjasama strategik antara syarikat minyak antarabangsa dan pemain industri utama
perlu memberi manfaat jangka panjang kepada negeri serta rakyat Sabah,” katanya
ketika memerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
ConocoPhillips, Ryan Lance di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Khamis.

Sementara itu, Ryan Lance memaklumkan ConocoPhillips merupakan antara syarikat
minyak utama dari Amerika Syarikat serta pemain bebas terbesar dunia dalam aktiviti
penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas, dengan operasi di pelbagai rantau
strategik global.

Katanya, ConocoPhillips, memberikan tumpuan pelaburan di Sabah dan pada masa
sama mengukuhkan komitmen jangka masa panjangnya terhadap Malaysia.

“Kami bangga kerana dapat bersama-sama untuk membangunkan industri minyak dan
gas di Sabah, dan yakin industri ini menyediakan pertumbuhan masa hadapan yang
amat cerah kepada Sabah”, katanya yang kali pertama melawat Sabah.

ConocoPhillips Sabah Gas kini menjadi pengendali tunggal bagi Kluster Kontrak
Perkongsian Pengeluaran (PSC) Kebabangan (KBBC) di Sabah, selepas Petronas
memindahkan pengendalian itu kepadanya pada 21 Januari 2025, menjadikannya
pengendali tunggal kluster medan minyak dan gas tersebut.-pr/BNN