KOTA KINABALU: Borneo Nature Tours merangkul dua anugerah berprestij pada Anugerah Kecemerlangan Persatuan Pelancongan ASEAN (ASEANTA) ke-35 yang berlangsung di Cebu, Filipina, pada 27 Januari lalu.
Anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah itu memenangi Anugerah Pemeliharaan Budaya Terbaik ASEAN dan Anugerah Eko-Lodge Terbaik ASEAN, mengatasi persaingan penginapan dan hotel terkemuka dari seluruh Asia.
Eko-lodge di Lembah Danum, Lahad Datu, yang dikenali sebagai Borneo Rainforest Lodge, merupakan antara sembilan penerima anugerah yang dipertandingkan pada peringkat serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Rainforest Lodge, Freddie Coleman, berkata pengiktirafan tersebut mengesahkan kredibiliti lodge itu dalam menyediakan pengalaman pelancongan alam semula jadi sambil memelihara hutan hujan dan warisan budaya Borneo.
Beliau berkata, usaha pemeliharaan budaya dilaksanakan melalui sokongan kepada komuniti tempatan menerusi peluang pekerjaan, latihan bertaraf antarabangsa serta penglibatan dalam pelbagai program dan pusat penyelidikan.
“Dalam jangka panjang, kami berhasrat untuk menjadi peneraju pelancongan alam semula jadi dan mencapai pembangunan mampan bagi hutan hujan,” katanya.
ASEANTA dianggotai oleh Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Anugerah tersebut berfungsi sebagai platform untuk berkongsi amalan terbaik dan menggalakkan kerjasama dalam industri pelancongan ASEAN, di samping menonjolkan inisiatif terbukti bagi diterapkan di destinasi lain di rantau ini.
Proses penilaian serantau dikendalikan oleh pemimpin industri pelancongan Asia Tenggara, dengan ASEANTA bertindak sebagai penjaga program anugerah berkenaan.




