PITAS: Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) telah berjaya melaksanakan program Cerita Kita – Sesi Kupi-Kupi Bersama Belia Pitas, sebuah sesi perintis libat urus belia di bawah inisiatif Belia Says, yang bertujuan mendengar dan memahami pengalaman sebenar belia luar bandar.
Diadakan di Acacia Forest Industries Sdn Bhd (AFI), Bongkol, Pitas, sesi ini menghimpunkan seramai 30 peserta. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Acacia Forest Industries (AFI) dan Hai Mandak.
Sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Lembaga SABAR, Datuk Zainie Abdul Aucasa, yang berkongsi impak inisiatif Voices to Action SABAR yang dilaksanakan pada tahun lalu.
Inisiatif tersebut menghasilkan satu dokumen yang mengandungi 117 aspirasi dan tuntutan hasil libat urus akar umbi serta pihak berkepentingan di seluruh Sabah, yang kemudiannya diserahkan kepada badan kerajaan dan parti politik.
Sebahagian daripada tuntutan tersebut telah menunjukkan perkembangan dan tindakan susulan. Datuk Zainie turut berkongsi bahawa SABAR akan memberi penekanan yang lebih kepada suara belia pada tahun ini, khususnya dari komuniti luar bandar, bagi memupuk budaya belia yang berdaya saing dan berpengetahuan.
Pengerusi Belia SABAR, Adelina Adna Adenan, turut memberikan gambaran keseluruhan mengenai SABAR sebagai sebuah NGO yang tidak berasaskan politik dan agama, dengan 11 teras advokasi utama termasuk pendidikan dan kesedaran MA63, kebajikan komuniti luar bandar dan pembangunan ekonomi, pelancongan, alam sekitar dan pertanian, pembangunan belia serta pembangunan pusat sumber.
Beliau menjelaskan bahawa visi SABAR adalah untuk menjadikan Sabah sebagai rakan kukuh dalam pembinaan negara melalui kemakmuran bersama, kehidupan yang aman dan keharmonian.
Turut diadakan ialah ceramah ringkas oleh Datuk Dr Chua Kim Hing, bekas Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), yang menyentuh isu krisis sampah di Sabah.
Beliau menekankan bahawa walaupun usaha jangka pendek seperti gotong-royong dan pembersihan berkala adalah penting, penyelesaian jangka panjang memerlukan penanganan punca masalah serta perubahan minda masyarakat terhadap kebersihan dan tanggungjawab alam sekitar.
Beliau juga menggalakkan agar amalan-amalan yang boleh diteladani dari komuniti dan negara lain dikaji serta disesuaikan untuk pelaksanaan yang mampan di Sabah.
Sesi utama libat urus belia Cerita Kita dikendalikan oleh pasukan Hai Mandak, yang diketuai oleh Priska Magdalena dan Calvina.
Melalui perbincangan interaktif, para peserta berkongsi cabaran utama yang dihadapi oleh belia di Pitas, termasuk keadaan jalan raya yang kurang memuaskan, gangguan bekalan air, gangguan elektrik serta isu pengurusan sisa.
Cabaranbekonomi seperti peluang pekerjaan yang terhad dan kadar gaji yang rendah turut diketengahkan. Walaupun terdapat usaha daripada organisasi seperti AFI melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memberi tumpuan kepada latihan kemahiran dan pemasaran produk, para peserta menyatakan masih terdapat keperluan untuk memperluaskan peluang ekonomi dalam sektor lain.
Cabaran sosial turut dibincangkan, termasuk pengaruh rakan sebaya terhadap tingkah laku seperti merokok, melepak, dan aktiviti seksual awal, selain kecenderungan untuk berputus asa apabila berdepan kesukaran dalam mencari pekerjaan.
Sesi ini turut menampilkan pengenalan visual dan interaktif mengenai pendidikan sivik yang merangkumi kepentingan mengundi, tiga peringkat kerajaan, serta sistem eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Segmen ini membantu peserta memahami hak mereka serta kesan keputusan kolektif dalam pentadbiran negara. Ramai peserta menyatakan bahawa maklumat ini merupakan pengetahuan baharu yang mencetuskan rasa ingin tahu dan penglibatan yang lebih aktif.
Cerita Kita direka sebagai platform yang mengutamakan pendengaran suara komuniti berbanding penyelesaian segera.
Sebagai sesi perintis di bawah Belia Says, ianmencerminkan komitmen SABAR untuk turun ke lapangan, mendengar tanpa penghakiman, serta memahami keperluan sebenar komuniti sebelum mencadangkan perubahan
Melalui Belia Says, SABAR berhasrat untuk terus mendekati belia di seluruh Sabah,bmendokumentasikan pengalaman, kebimbangan dan aspirasi mereka, sambil memupuk harapan serta menggalakkan budaya pemikiran kritis dan kepimpinan sosial dalam kalangan generasi muda yang akan membentuk masa depan Sabah.
SABAR mengalu-alukan kerjasama daripada individu, kumpulan dan organisasi yang sehaluan bagi menyokong dan memperluaskan inisiatif ini pada masa akan datang.-pr/BNN





