PUTATAN: Aktiviti riadah setempat bukan sahaja mampu meningkatkan perpaduan masyarakat, bahkan ianya dapat menjana idea untuk mempelbagaikan kekuatan ekonomi di lokaliti masing-masing.

Ahli Parlimen Putatan; Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kekuatan itu dapat diterjemahkan menerusi pelbagai medium dalam usaha merealisasikan masyarakat yang berdaya saing di masa hadapan.

“Banyak aktiviti riadah memberikan impak kepada komuniti setempat dengan ada di antaranya mampu menjana atau menambah pendapatan.

“Sehubungan itu, menerusi ikatan perpaduan yang didirikan di antara masyarakat, kepelbagaian idea akan lahir untuk memacu ekonomi baharu berasaskan aktiviti riadah tersebut, “katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ramah mesra bersama peserta Jom Memancing di Jeti Konkrit Kampung Tanjung Aru, dekat sini, malam Sabtu.

Program yang disertai kira-kira 50 peserta tersebut merupakan anjuran Kelab Komuniti Belia Tg Aru dengan kerjasama Belia Masjid Al Khauthar, Tanjung Aru.

Mengulas mengenai aktiviti tersebut, Shahelmey berkata, ia merupakan wadah berbeza yang dapat menarik kehadiran ramai kaki pancing bahkan para pelancong.

“Aktiviti yang dianjurkan oleh komuniti belia di sini adalah usaha memberangsangkan yang mana kita lihat ia sejajar dengan trend terkini melibatkan minat dan riadah.

“Lokasi yang menarik seperti Jeti Konkrit Kampung Tanjung Aru ini juga dapat menarik bukan sahaja peminat pancing malah ia mampu menarik kehadiran pelancong datang ke sini nanti,” katanya.

Hadir sama dalam program itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya, Pegawai Khas (Pentadbiran & Operasi) Parlimen P.173 Putatan; Mahadzir Abd Majid dan Pengerusi Kelab Komuniti Belia Tg Aru; Mohd Shukry Abdul Kadir.-pr/BNN