KOTA KINABALU: Shangri-La Rasa Ria, Kota Kinabalu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju hospitaliti mewah lestari apabila meraih tiga anugerah berprestij pada Anugerah Pelancongan Sabah ke-13 2025 dan Anugerah Pelancongan ASEAN 2026.
Pada Anugerah Pelancongan Sabah ke-13 2025, resort berkenaan menerima Anugerah Kelestarian Emas, yang mengiktiraf inisiatif ‘EcoRia’, sebuah platform menyeluruh merangkumi pemuliharaan biodiversiti termasuk Rizab Alam Semula Jadi seluas 64 ekar, pengurangan karbon serta projek berasaskan komuniti.
Kejayaan itu diteruskan di peringkat serantau apabila Shangri-La Rasa Ria muncul sebagai penerima dua anugerah pada Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2026 yang berlangsung di Cebu City, Filipina, iaitu Anugerah Pelancongan Lestari ASEAN dan Anugerah Venue MICE ASEAN (Kategori Venue Acara).
Pencapaian ini turut diperkukuh dengan kejayaan resort tersebut menjadi hotel pertama di Malaysia dan dalam Kumpulan Shangri-La di peringkat global yang memperoleh pensijilan ISO 20121 bagi Pengurusan Acara Lestari.
Pensijilan antarabangsa itu memastikan setiap penganjuran acara dilaksanakan dengan impak alam sekitar yang minimum dan manfaat sosial yang maksimum, antaranya melalui penggunaan sumber tempatan, pengurusan sisa dengan kadar lencongan melebihi 60 peratus serta kecekapan tenaga.
Pengurus Besar Shangri-La Rasa Ria, Fiona Hagan, berkata pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen pasukan resort dalam memelihara keindahan alam semula jadi Sabah sambil mengekalkan standard hospitaliti bertaraf dunia.-BNN





