TUARAN: Satu pencapaian bersejarah bakal diraikan oleh Shangri-La Rasa Ria apabila menandakan ulang tahun ke-30 kerjasama erat dengan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah sebagai entiti latihan industri utama untuk pelatih hospitaliti.
Majlis Graduasi Program Pembelajaran Penglibatan Hospitaliti JPSM (HELP) Ke-42 telah dirasmikan oleh Pengarah JPSM Sabah, Puan Kamsiah Binti Ibrahim. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) (Sabah dan Labuan FT), TS Peter Wong; Penolong Pegawai Daerah Tuaran, Tuan Alfian Bin Rahim; serta Timbalan Setiausaha Tetap II (TSUT II) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Tuan Shafaruddin bin Halide.
Hadir sama ialah Pengurus Besar Shangri-La Rasa Ria Kota Kinabalu, Cik Fiona Hagan.
Shangri-La Rasa Ria di Kota Kinabalu merupakan penyedia latihan berdaftar di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), sistem latihan bersepadu di Malaysia. Hotel ini berstatus pusat latihan yang diiktiraf dan menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), satu sijil kemahiran yang diiktiraf secara global. Program ini direka untuk mengurangkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan industri melalui latihan kemahiran praktikal di dalam resort itu sendiri.
Sejak 1996, Shangri-La Rasa Ria telah bekerjasama rapat dengan JPSM dalam menyediakan latihan dan pendidikan hospitaliti kepada belia di seluruh Sabah. Melalui Program Pembelajaran Penglibatan Hospitaliti (HELP), resort ini telah memberi latihan berprestasi tinggi dalam suasana pekerjaan sebenar kepada belia tempatan, terutama dari keluarga berpendapatan rendah. Program ini memberi penekanan kepada impak tempatan, di mana 27% daripada peserta berasal dari daerah Tuaran.
Tahun ini, sebanyak 41 pelatih JPSM akan menerima sijil SKM mereka. Shangri-La Rasa Ria merupakan satu-satunya hotel dan entiti pembelajaran berasaskan industri di Sabah yang menawarkan sijil SKM secara in-house di bawah ADi-Perantisan (Akademi dalam Industri – Perantisan), tanpa sebarang insentif daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Selain itu, Rasa Ria juga merupakan satu-satunya cawangan Shangri-La di seluruh Malaysia yang menawarkan sijil SKM. Sijil ini diiktiraf di seluruh dunia, memberikan peluang pekerjaan yang berprestij di seluruh rangkaian jenama Shangri-La di seluruh dunia.
Program intensif selama 6 hingga 10 bulan ini menggunakan sukatan pelajaran yang ketat, direka untuk menghubungkan jurang antara pendidikan kemahiran dan piawaian antarabangsa hotel mewah. Program ini menggabungkan 70% latihan praktikal, termasuk latihan di tempat kerja (OJT) dalam bidang Makanan & Minuman, Pengemasan, Kaunter Depan, Rekreasi dan Runcit, serta 30% pembelajaran teori yang menumpukan kepada modul akademik dan pembangunan kemahiran insaniah.
Sejak 2013, seramai 758 pelatih telah mendaftar dalam program JPSM, di mana 628 daripada mereka berjaya menamatkan latihan dan graduasi. Daripada jumlah ini, 58% telah diambil bekerja oleh hotel, menunjukkan kualiti latihan yang tinggi yang disediakan oleh Rasa Ria dalam melahirkan pekerja mahir.
Sepanjang latihan industri mereka, pelatih JPSM dilatih oleh jurulatih dan pereka latihan berpengalaman dalam ‘Shangri-La Way’, menekankan nilai-nilai teras seperti rendah hati, sopan santun dan berkhidmat tanpa mengharapkan balasan. Kesemua jurulatih dan pereka latihan terdiri daripada kakitangan Shangri-La Rasa Ria sendiri, ada yang bermula sebagai pelatih JPSM dan berjaya menaiki tangga kerjaya.-BNN





