PENAMPANG:Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Penampang, Francis Mojikon, dengan tegas menyokong seruan Naib Presiden Bersatu, Datuk Ronald Kiandee, agar Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, segera meletakkan jawatan demi menyelamatkan masa depan Bersatu.

Menurut beliau, Bersatu kini berada dalam keadaan kucar-kacir dan kehilangan hala tuju akibat kepimpinan yang lebih mementingkan kelangsungan kuasa berbanding perjuangan sebenar parti.

“Presiden telah gagal memimpin Bersatu dengan berhemah dan rasional. Segala keputusan dilihat hanya bertujuan mempertahankan jawatan sendiri, bukan memperkukuh parti atau membela rakyat,” katanya.

Francis menegaskan bahawa budaya menekan ahli melalui lembaga disiplin terhadap mereka yang bersuara membuktikan wujudnya kepimpinan autoritarian yang merosakkan demokrasi dalaman parti.

“Ini bukan reformasi politik, ini penindasan dalaman. Ahli yang ikhlas menegur disenyapkan seolah-olah mereka musuh parti.”

Beliau berkata, masa untuk perubahan kosmetik telah berlalu dan Bersatu memerlukan rombakan kepimpinan secara menyeluruh.

“Bersatu tidak akan bangkit selagi kepimpinan lama terus berpaut pada kuasa. Tan Sri Muhyiddin harus berundur dengan bermaruah dan memberi laluan kepada barisan pelapis.”

Francis turut menggesa ahli-ahli Bersatu di seluruh negara agar bangkit menyokong Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, bagi memimpin proses penjenamaan semula parti ke arah sebuah gerakan politik yang lebih kuat, berani dan benar-benar berkhidmat kepada rakyat.

“Jika kita mahu Bersatu kembali relevan dan menang dalam Pilihan Raya Umum akan datang, perubahan mesti dilakukan sekarang — bukan esok.”-pr/BNN