KOTA KINABALU:Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Cawangan Sabah bakal menganjurkan MATTA Fair Sabah 2026 dari 17 hingga 19 April ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Pameran pelancongan selama tiga hari itu menghimpunkan pelbagai tawaran menarik meliputi pakej pelancongan, tiket penerbangan, penginapan dan produk hospitaliti pada harga istimewa di bawah satu bumbung.
Sebagai antara destinasi pelancongan utama negara, Sabah yang terletak di Borneo terkenal dengan biodiversiti yang kaya, Gunung Kinabalu yang ikonik serta kepelbagaian warisan budaya. Keunikan ini terus menarik pelancong domestik dan antarabangsa yang mencari pengalaman berasaskan alam semula jadi dan budaya autentik.
Pengerusi Penganjur MATTA Fair Sabah 2026 merangkap Pengerusi MATTA Sabah, Mohd Azlan Saleh berkata penganjuran kali ini bertujuan memperkukuh profil pelancongan Sabah melalui platform promosi eksklusif kepada pemain industri.
“Prestasi yang memberangsangkan ini mencerminkan keyakinan orang ramai untuk kembali melancong serta ketahanan industri pelancongan. MATTA kekal komited menyokong pelancongan domestik dan inbound sebagai penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang menyaksikan MATTA sebagai Rakan Strategik, pihaknya mahu mewujudkan pendedahan lebih luas kepada ahli serta meletakkan Sabah lebih menonjol di peta pelancongan global.
Menurutnya, MATTA Sabah turut menyokong inisiatif masa depan seperti Visit Sabah 2027 (dahulunya Explore Sabah 2027) dengan memberi tumpuan kepada segmen khusus termasuk pakej pelancongan mesra Muslim. Amalan kelestarian juga akan terus diperkasa, termasuk penglibatan lebih besar produk berasaskan komuniti tempatan bagi menyokong pembangunan pelancongan inklusif dan mampan.
Lebih 150 gerai pameran dijangka mengambil bahagian pada edisi kali ini, mencerminkan penyertaan industri yang kukuh serta minat yang semakin meningkat terhadap sektor pelancongan.
RHB Bank sekali lagi dilantik sebagai Rakan Bank Rasmi MATTA Fair Sabah 2026, menawarkan promosi eksklusif di lokasi pameran, penyelesaian pembayaran menarik serta ganjaran istimewa kepada pengunjung.
Malaysia Aviation Group (MAG) pula bertindak sebagai Rakan Syarikat Penerbangan Rasmi dengan menyediakan pilihan perjalanan serta tambang promosi bagi meningkatkan kesalinghubungan dan nilai kepada pelancong.
Pengunjung turut berpeluang menyertai Peraduan Pembeli MATTA Fair, di mana mereka yang berbelanja minimum RM100 layak menyertai cabutan bertuah dengan hadiah-hadiah menarik termasuk ganjaran berkaitan pelancongan.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai MATTA Fair Sabah 2026, orang ramai boleh melayari www.mattafair.org.my atau mengikuti laman Facebook @MATTA Sabah serta Instagram @mattafairsabah.-BNN





