KENINGAU: Langkah Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar mengarahkan kakitangannya menghabiskan sekurang-kurangnya 60 peratus masa bekerja di lapangan disifatkan sebagai keputusan tepat dan berani dalam usaha memperkasa sektor pertanian negeri.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata arahan itu mencerminkan komitmen jelas kerajaan untuk memastikan pegawai lebih dekat dengan rakyat serta memahami realiti sebenar yang dihadapi petani di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan amat bertepatan dengan keperluan semasa sektor pertanian negeri yang menuntut komitmen tinggi pegawai untuk lebih dekat dengan komuniti petani di peringkat akar umbi.
“Sudah sampai masanya para pegawai turun padang untuk memahami sendiri permasalahan sebenar yang dihadapi petani, termasuk isu pengairan, baja, pemasaran hasil dan penyelenggaraan infrastruktur pertanian.
“Apabila pegawai berada di lapangan, penyelesaian dapat dibuat dengan lebih cepat dan tepat kerana mereka melihat sendiri situasi sebenar, bukan hanya berdasarkan laporan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, langkah menempatkan pegawai di kawasan penanaman padi seperti yang diumumkan sebelum ini turut mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pertanian sebagai pemacu ekonomi luar bandar serta menjamin keselamatan makanan Sabah.
Beliau berkata, kehadiran pegawai secara konsisten di kawasan tanaman mampu mempertingkat pemantauan projek, memastikan penyelenggaraan fasiliti pertanian berjalan lancar dan memperkukuh bimbingan teknikal kepada petani.
“Pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan proses penyampaian bantuan, malah memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan benar-benar menepati keperluan sebenar petani.
“Ia juga dapat mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kecekapan jabatan dan agensi berkaitan,” katanya.
Yazid turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Jamawi atas komitmen berterusan beliau turun ke lapangan bagi meninjau sendiri perkembangan sektor pertanian dan kebajikan golongan petani.
Beliau berharap inisiatif itu dapat diteruskan secara konsisten bagi meningkatkan hasil pertanian, memperkukuh ekonomi luar bandar dan seterusnya memperbaiki taraf hidup rakyat, khususnya komuniti petani di Sabah.-pr/BNN





