KOTA KINABALU: Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) membuka pendaftaran keahlian baharu kepada pesara guru di seluruh negeri ini bagi memperkukuh jaringan kebajikan serta memperkasa peranan warga pendidik berpengalaman dalam pembangunan masyarakat.
Presidennya, Dr Aslie Hj Sahat, berkata langkah itu adalah usaha berterusan persatuan untuk menghimpunkan pesara guru supaya terus menyumbang pengalaman, kepakaran dan khidmat bakti kepada Sabah walaupun telah b*ersara daripada perkhidmatan pendidikan.
Menurut beliau, golongan pesara guru mempunyai peranan signifikan sebagai rujukan masyarakat selain menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan dan sosial berteraskan pengalaman luas yang dimiliki sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
“PMPS mengalu-alukan penyertaan pesara guru di seluruh Sabah untuk mendaftar sebagai ahli dan bersama-sama memperkukuh jaringan silaturahim serta kebajikan warga pendidik yang telah banyak berjasa kepada negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pendaftaran keahlian boleh dibuat melalui Pejabat Perhubungan PMPS di setiap daerah bagi memudahkan urusan penyertaan ahli baharu.
Tambahnya, penyertaan pesara guru dalam persatuan itu bukan sahaja mampu mempererat hubungan sesama ahli, malah membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai program kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai pesara guru tampil menyertai PMPS supaya sumbangan pengalaman, ilmu dan kepakaran mereka terus dapat dimanfaatkan demi pembangunan masyarakat dan negeri Sabah secara berterusan.-pr/BNN





