KOTA KINABALU: Pelaksanaan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor disifatkan sebagai manifestasi komitmen tegas kepimpinan negeri dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus kerajaan.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, langkah berkenaan tepat pada masanya dalam memastikan pentadbiran negeri terus dilaksanakan berlandaskan prinsip amanah, ketelusan dan akauntabiliti.
Menurutnya, keprihatinan serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri dalam memimpin Ahli Jemaah Menteri melafazkan ikrar bebas rasuah mencerminkan iltizam jelas kerajaan untuk menolak sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa.
“Dengan lafaz ikrar oleh barisan Jemaah Menteri, sudah tentu jentera kerajaan dapat diurus tadbir dengan lebih berintegriti dan berakauntabiliti. Ini satu isyarat jelas bahawa kepimpinan negeri komited untuk menolak sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negeri, malah berpotensi memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam supaya lebih cekap, telus dan berkesan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pelaksanaan IBR diperluaskan ke semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan di Sabah, termasuk pihak berkuasa tempatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Langkah memperluaskan ikrar ini akan memastikan budaya integriti menjadi amalan menyeluruh dalam setiap lapisan pentadbiran dan organisasi, sekali gus membina ekosistem tadbir urus yang bersih serta bebas rasuah,” ujarnya.
Hj Yazid menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah menuntut komitmen berterusan dan tindakan tegas daripada semua pihak, bukan sekadar bersifat simbolik, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan yang konsisten demi kepentingan rakyat serta masa depan negeri.-pr/BNN





