PUTATAN: Kepelbagaian hidangan juadah makanan, minuman dan kuih muih menjadi tumpuan utama para pengunjung mengunjungi bazar Ramadan yang disediakan di Putatan.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, selain merancakkan lagi aktiviti peniaga mengadakan jualan mereka, kemeriahan tersebut dilihat menjadi rutin orang ramai untuk datang ke daerah ini membeli juadah kegemaran mereka.
Jelasnya, ia sekaligus memperlihatkan Putatan terus menjadi lokasi signifikan bagi lokasi bazar terkemuka di Sabah secara amnya dan mendapat tempat di hati pengunjung.
“Dengan adanya bazar-bazar yang ada di Putatan ini, nampaknya ia secara berterusan menjadi lokasi yang wajib dikunjungi oleh mereka yang mahu membeli juadah berbuka puasa.
“Kita juga dalam masa sama mengingatkan para peniaga supaya menjaga kualiti makanan dan minuman yang dijual selain meletakkan harga yang munasabah untuk di beli oleh pelanggan.
“Saya berharap, dengan keunikan pelbagai juadah yang dijual di bazar tersedia di Putatan ini, ia terus meletakkan daerah ini sebagai lokasi yang menjadi menarik minat penggemar juadah-juadah berbuka dan pada masa sama membuka peluang para peniaga menambah pendapatan mereka,” katanya.
Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) berkata demikian selepas mengadakan sesi walkabout di Bazar Ramadan Peladang dan Bazar Ramadan Legend Golden Centre Putatan, di sini, hari ini.
Hadir sama dalam program itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, Pegawai Khas Operasi Parlimen; Ir Ummar Ariff Abu Bakar
Pegawai Khas Kanan Parlimen Putatan; Mohd Sufian Matin dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat; Latip Jiar.-pr/BNN





