KOTA KINABALU: Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Chin Tek Ming yang mempertikaikan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Kabinet Negeri Sabah disifatkan sebagai cubaan mengheret isu integriti ke kancah polemik politik, kata mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said.

Beliau berkata, tindakan Jemaah Menteri Negeri yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melafaz dan menandatangani IBR adalah satu langkah berani serta terbuka dalam memperlihatkan komitmen pentadbiran terhadap prinsip ketelusan dan tadbir urus baik.

“IBR bukan sekadar simbolik, tetapi satu pernyataan komitmen moral dan pentadbiran. Ia menunjukkan kesediaan kerajaan negeri untuk meletakkan integriti sebagai asas kepimpinan.

“Menjadikan majlis IBR itu sebagai bahan polemik politik hanya akan mengelirukan rakyat dan menjejaskan usaha berterusan membudayakan integriti dalam pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas kebimbangan dibangkitkan wakil rakyat pembangkang berhubung siasatan kes perlombongan, Jerry menegaskan bahawa sebarang proses siasatan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang mempunyai kebebasan serta prosedur tersendiri.

Beliau berkata, semua pihak wajar memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan secara profesional tanpa tekanan atau persepsi yang boleh menjejaskan integriti proses undang-undang.

“Prinsip kedaulatan undang-undang perlu dihormati. Kita tidak boleh menghukum berdasarkan persepsi atau dakwaan semata-mata. Biarlah siasatan berjalan dan keputusan dibuat berasaskan fakta serta bukti,” katanya.

Jerry turut menolak dakwaan bahawa kehadiran Pengarah SPRM Sabah dalam majlis berkenaan menimbulkan persoalan mengenai kebebasan suruhanjaya itu.

Katanya, kehadiran pegawai kanan SPRM dalam program rasmi berkaitan integriti adalah perkara lazim sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh tadbir urus bersih, dan tidak seharusnya ditafsirkan secara negatif.

Beliau dalam masa sama mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan isu rasuah demi kepentingan sempit, sebaliknya bersama-sama menyokong agenda reformasi institusi yang sedang digerakkan kerajaan negeri.

“Rakyat mahu melihat kestabilan dan pembangunan yang berterusan. Usaha memperkukuh integriti perlu disokong secara kolektif, bukan dipertikai tanpa asas yang kukuh,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan ADUN Kepayan itu mempersoalkan kredibiliti IBR Kabinet Negeri susulan dakwaan berkaitan skandal perlombongan yang masih dalam siasatan.-pr/BNN