KOTA KINABALU: Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) meneruskan perjuangan membela nasib pegawainya dengan mendedahkan lima peruntukan kritikal dalam Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) yang menceroboh kuasa autonomi Imigresen Sabah.

Pertindihan ini dikesan berpotensi memberi kesan langsung kepada tugas para Pegawai Imigresen di Pintu Masuk Sabah sekaligus menjejaskan penyampaian perkhidmatan.

Pengecualian Terhad dalam Jadual Kedua Membuka Ruang Pencerobohan Kuasa Pelaksanaan Akta 860 dilihat bermasalah apabila pengecualian kuasa AKPS di bawah Jadual Kedua, Bil. 2, hanya terhad kepada Seksyen 9, Seksyen 9A dan Bahagian V Akta Imigresen 1959/63, sekaligus membenarkan AKPS menguatkuasakan semua peruntukan di Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63 yang merupakan peruntukan khas bagi wilayah Malaysia Timur.

Ini adalah pencerobohan mutlak hak kerajaan negeri kerana Bahagian VII menggariskan kuasa eksklusif Pihak Berkuasa Negeri di Sabah.

“Sekiranya Bahagian VII tidak dikecualikan secara khusus dari bidang kuasa AKPS, kedaulatan wilayah kita tergadai dan hak pentadbiran di pintu masuk kita sendiri dirampas,” tegas Presiden KPPIS.

Di bawah pemakaian undang-undang sedia ada, kawalan di Pintu Masuk Sabah diurus tadbir dengan teratur di bawah kuasa mutlak Pihak Berkuasa Negeri yang diperuntukkan dalam Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63 .

Namun, sekiranya situasi ini dikawal di bawah Akta 860, AKPS bebas mengambil alih kawalan Pintu Masuk Sabah tanpa sekatan bidang kuasa yang jelas di Sabah seterusnya mencetuskan kecelaruan tatacara kerja dan mengundang pertindihan bidang kuasa yang kritikal di Pintu Masuk Sabah.

Kelompongan Kuasa Pengeluaran Pas dan Permit di bawah Seksyen 6(3) Seksyen 6(3) Akta 860 didapati mengandungi kelompongan perundangan di mana AKPS hanya diwajibkan patuh arahan Pihak Berkuasa Negeri bagi fungsi pemeriksaan keluar masuk fizikal individu sahaja (Seksyen 6(1)(a)(i)), tetapi fungsi pengeluaran pas atau permit (Seksyen 6(1)(a)(viii)) terdedah kepada campur tangan AKPS.

Keadaan ini jelas melanggar Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 65 Akta Imigresen 1959/63 yang memberi kuasa mutlak kepada Ketua Menteri Sabah untuk menyekat atau membatalkan pengeluaran pas dan permit di Sabah.

“Kuasa mutlak Ketua Menteri untuk menyekat atau membatalkan pas di Sabah tidak wajar dibiarkan dalam ruang kelabu perundangan; Kuasa ini mesti dihormati dan dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak,” kata Azizah.

Mengikut perundangan semasa, kelulusan dan penolakan pas warga asing di Pintu Masuk Sabah dipantau teliti berdasarkan ketetapan mutlak Kerajaan Negeri Sabah.

Sebaliknya, jika dikendalikan di bawah Akta 860 yang lompong, AKPS boleh mengeluarkan pas tanpa tertakluk kepada arahan negeri, mengakibatkan kemasukan individu ke Sabah tanpa penapisan kuasa tempatan yang sah.

Pemusatan Rantaian Arahan (Chain of Command) Melalui Seksyen 4(4) Penstrukturan pentadbiran di bawah Seksyen 4(4) Akta 860 meletakkan Ketua Pengarah AKPS sebagai pemegang kuasa mutlak bagi semua arahan, perintah, dan kawalan operasi.

Ini bermakna peruntukan tersebut memintas peranan hierarki Pengarah Imigresen Sabah yang seharusnya memegang kuasa pengawasan eksklusif penugasan Pegawai Imigresen di Sabah menurut Seksyen 64(3) Akta Imigresen 1959/63.

“Rantaian arahan berpusat ini mengetepikan hierarki Pengarah Imigresen Sabah, lalu meletakkan pegawai kami di lapangan dalam dilema berat berhubung arahan pihak mana yang harus diikuti,” keluh Azizah mengenangkan nasib anggotanya.

Menerusi sistem autonomi semasa, para Pegawai Imigresen di Pintu Masuk Sabah dapat menjalankan tugas dengan teratur dan sah kerana mereka diselia secara langsung oleh Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang membawa ketetapan Kerajaan Negeri Sabah.

Pelaksanaan Akta 860 sebaliknya memaksa para Pegawai Imigresen di Pintu Masuk Sabah menerima arahan terus dari persekutuan yang mungkin bercanggah dengan ketetapan mutlak Kerajaan Negeri Sabah, sekaligus meletakkan mereka dalam risiko dituduh melanggar prosedur operasi standard (SOP) Jabatan.

Penyelesaian Pertindihan Fungsi Secara Pentadbiran di bawah Seksyen 8,Turut mencetuskan kontroversi ialah Seksyen 8 Akta 860 yang mencadangkan penyelesaian secara “pentadbiran” sekiranya berlaku pertindihan fungsi di Pintu Masuk Sabah antara AKPS dan Pihak Berkuasa Negeri.

Penyelesaian berbentuk budi bicara ini melanggar jaminan Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan serta Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), kerana peruntukan pentadbiran boleh dipinda sewenang-wenangnya tanpa proses kelulusan rasmi di parlimen.

“Autonomi imigresen Sabah bukanlah sesuatu yang boleh runding ; ia adalah hak eksklusif yang tidak boleh dikompromi,” ujar Azizah.

Berdasarkan keharmonian perlembagaan sedia ada, apa jua pertindihan bidang kuasa imigresen negeri tidak sepatutnya dirundingkan, sebaliknya ia secara automatik terbatal dan wajib memihak kepada kuasa mutlak Pihak Berkuasa Negeri.

Melalui penguatkuasaan Akta 860 kelak, AKPS sebaliknya mampu memintas hak negeri menerusi budi bicara perundingan, mewujudkan lompang dominasi yang perlahan-lahan melenyapkan kedaulatan imigresen Sabah.

Penurunan Kuasa Pukal Kepada AKPS di bawah Seksyen 7(1) KPPIS turut mempersoalkan Seksyen 7(1) Akta 860 yang memberikan kuasa luas membenarkan pegawai AKPS mengambil alih keupayaan “pihak berkuasa berwibawa” secara pukal dan automatik.

Penurunan kuasa ini merupakan pelanggaran mandatori terhadap Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan serta Bahagian VII (Seksyen 64 dan 65) Akta Imigresen 1959/63 yang melindungi Sabah; iaitu sebarang hak kemasukan tidak boleh dipinda, diwakilkan, atau diturunkan tanpa persetujuan rasmi dan kebenaran bertulis daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah.

“Pemberian kuasa secara pukal kepada AKPS ini adalah pencerobohan mutlak terhadap autonomi yang sekian lama melindungi ruang kerja para Pegawai Imigresen di Pintu Masuk Sabah,” tegas Azizah mewakili para Pegawai Imigresen yang bertungkus-lumus menjalankan tugas.

Hari ini, mana-mana penguatkuasaan atau penyiasatan yang dilaksanakan tertakluk sepenuhnya di bawah undang-undang bertulis Negeri tanpa gangguan entiti luar.

Sekiranya diangkat di bawah kerangka Akta 860, AKPS diberikan ruang mutlak untuk bertindak bersendirian di pintu masuk Sabah tanpa terikat dengan keperluan pemantauan tempatan, sekaligus mengingkari Perjanjian Malaysia 1963.

Kesimpulan dan pendirian KPPIS.Tindakan KPPIS ini bukanlah satu bentuk penentangan, sebaliknya satu bentuk kebertanggungjawaban memelihara ekosistem perundangan semasa para Pegawai Imigresen di Pintu Masuk Sabah.

KPPIS menegaskan bahawa kesatuan mempunyai obligasi untuk campur tangan bagi melindungi ahli-ahlinya daripada risiko kesalahan ketidakpatuhan statutori (statutory non-compliance).

Pengabaian terhadap semua kelompongan Akta 860 ini akan mendedahkan para Pegawai Imigresen di Pintu Masuk Sabah kepada risiko pematuhan arahan luar yang bersifat ultra vires (melangkaui batas bidang kuasa perundangan), sekaligus menggugat perlindungan keselamatan kerjaya (legal safeguard) yang seharusnya dinikmati semua Pegawai Imigresen di Sabah. -pr/BNN