KOTA KINABALU:Penglibatan PAS dalam urus tadbir Kerajaan Negeri Sabah yang baharu dibantah sekeras-kerasnya kerana PAS adalah sebuah parti yang dipimpin oleh kebanyakannya yang bersikap rasis dan suka memainkan sentimen agama.
Paul Kadau naib presiden Angkatan Perpaduan Sabah (APS) dalam satu kenyataan berkata PAS mengamalkan budaya yang gemar menghina budaya dan agama lain seperti Kristian.
“Sekiranya pemimpin PAS turut serta dalam Kerajaan Negeri Sabah yang baharu, adalah perlu untuk pemimpin PAS membuat permohonan maaf secara terbuka khasnya kepada rakyat Sabah beragama Kristian dan berjanji untuk tidak mengulangi perkara yang sedemikian,” katanya.
“Hal ini juga disertakan dengan membuat surat perakuan bahawa mereka tidak akan mengulangi kesilapan mereka yang gemar menghina agama lain terutama Kristian, dan bertaubat,” katanya lagi.
Apa yang pasti, adalah lebih baik jika pemimpin PAS tidak mengamalkan sikap negatif itu dan bersifat lebih terbuka kerana Sabah adalah sebuah negeri yang mementingkan perpaduan semasa kaum tanpa melihat pada perbezaan suku bangsa atau agama yang dianuti.-pr/BNN