KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 391 kes. Jumlah kumulatif ialah sebanyak 22,714 kes. Hari ini dua (2) kes kematian dicatatkan di Daerah Kota Kinabalu. Takziah kepada semua keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 358 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital. Manakala, seramai 2,475 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 678 orang di hospital dan 1,797 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 65 orang dan 23 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Pada hari ini, terdapat dua (2) kluster baharu iaitu:
(i) Kluster Alila di Daerah Tuaran sebanyak 23 kes berkaitan dengan pekerja tapak pembinaan Alila Resort ; dan
(ii) Kluster Istimewa di Daerah Sandakan sebanyak16 kes.

Daripada 391 kes positif COVID-19 hari ini, sebanyak 136 kes (34.78%) adalah dari Daerah Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan yang berpunca dari saringan kontak rapat. Selebihnya iaitu 255 kes adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,010 katil. Sementara, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah sebanyak 5,611 katil menjadikan jumlah keseluruhan 6,621 katil. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 37.38%.

PEMBUKAAN PUSAT KUARANTIN DAN RAWATAN COVID BERISIKO RENDAH (PKRC) BAHARU DI KUDAT

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sentiasa memantau keperluan pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid Berisiko Rendah (PKRC) yang baharu.

Satu (1) lagi PKRC baharu telah dibuka di Daerah Kudat iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim Kudat, yang mempunyai kapasiti 98 katil.

PENGURUSAN SUMBANGAN DAN BANTUAN DARIPADA BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO), SYARIKAT SWASTA, PEMIMPIN MASYARAKAT DAN ORANG PERSENDIRIAN (SOP TAMBAHAN)

Rentetan daripada kenyataan media semalam mengenai pengurusan sumbangan dan bantuan daripada NGO, syarikat swasta, pemimpin masyarakat dan orang persendirian, Kerajaan Negeri hari ini telah memperincikan SOP tambahan bagi memudahkan perkara ini.

SOP yang ditambah ialah bagi sumbangan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan semua fasiliti kesihatan di bawah JKNS, NGO berkenaan boleh berhubung terus dengan pihak JKNS. Disertakan SOP Pengurusan

BANTUAN BAKUL MAKANAN (FOOD BASKET)

Pengagihan bantuan bakul makanan (food basket) kepada golongan sasar berjalan lancar. Sehingga hari ini, sebanyak 166,996 bakul makanan telah diagihkan.

LAPORAN SEKATAN JALAN RAYA (SJR), PENGUATKUASAAN PERAIRAN SABAH, SANITASI DAN HEBAHAN UMUM INFO ON WHEELS

Sebanyak 72 SJR telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 50,759 kenderaan. Daripada jumlah tersebut, 180 buah kenderaan diarah berpatah balik manakala 11 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. PDRM juga telah melaksanakan 86 hebahan melalui kereta peronda. Kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah 97.18%.

Tiga Daerah mencatatkan kadar pematuhan yang tinggi ialah Kinabatangan (99%), Sipitang (99%) dan Kudat (98.5%). Manakala tiga daerah yang mencatatkan kadar pematuhan yang terendah ialah Kota Belud (96%), Ranau (96%) dan Tuaran (96%)

Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 31 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 22 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasidi 13 premis di empat (4) buah daerah iaitu Semporna, Kinabatangan, Kota Marudu dan Tawau.

Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 34 lokasi di lima (5) buah daerah. Hebahan dibuat dalam empat (4) bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Mandarin, Bahasa Kadazan dan Bahasa Bajau.

Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian. Masyarakat juga dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

#kitajagakita #stayhome #staysafe

#workfromhome
#normabaharu

YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN DAN MENTERI KEWANGAN II
14 November 2020