KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Dr. Ali Akbar Gulasan mencadangkan agar pihak Kerajaan Negeri memberi fokus kepada usaha pembangunan bandar yang bersifat inklusif, berdaya murni, tersusun dan mempunyai kemudahan yang lengkap dan memenuhi keperluan semua penduduk.
Katanya, pembangunan bandar dan kawasan perumahan baharu perlu menambah aspek fasiliti dari segi rumah ibadat.
“Di kawasan bandar yang dibangunkan dan di kawasan-kawasan perumahan baharu, adalah wajar untuk pihak kerajaan khasnya Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan untuk menyediakan rumah ibadat, iaitu rumah ibadat bagi orang Islam dan juga bukan Islam.
“Biasanya, dalam pembinaan rumah yang sedia ada, tidak mempunyai kemudahan rumah ibadat dan penduduk di kawasan perumahan sendiri terpaksa mencari dana, bantuan serta mencari sumbangan demi untuk mewujudkan rumah ibadat di kawasan perumahan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahas Belanjawan Negeri Sabah 2021 di Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) disini pada Isnin.
Menurut Ali, pembinaan rumah ibadat di kawasan pembangunan bandar adalah hak dan keadilan untuk semua, tidak kira apa bangsa dan agama sekalipun.
Ali turut memberitahu bahawa penyediaan kemudahan asas yang baik mampu mewujudkan persekitaran yang selesa dan selamat tanpa meminggirkan sesiapa.
“Kita tidak bermaksud untuk menghapuskan penempatan setinggan tetapi usaha adalah lebih kepada untuk mewujudkan bandar yang harmoni dan dibangunkan dengan penelitian,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ali juga mencadangkan agar Kerajaan menubuhkan Yayasan Pendidikan bagi mencapat matlamat Sabah Maju Jaya.
“Yayasan ini akan menguruskan pendidikan supaya bidang ini dapat disusun atur dengan lebih terancang, kemas dan sistematik.
“Selain itu, aspek pendidikan masa kini, misalnya pendidikan secara dalam talian, memerlukan liputan Internet yang kuat, yang luas dan wajar untuk diwujudkan pendidikan integrasi kerana pada masa akan datang, bidang ini akan berdepan cabaran yang lebih hebat,” katanya lagi.
Ali turut mengajak semua ahli politik untuk membawa politik yang aman dan harmoni.
“Kita mahu politik masa kini yang lebih matang, tidak wajar lagi untuk sentiment politik seperti politik anti Semenanjung dan saling membenci, ini adalah tidak relevan lagi.
“Kita mahu mencapai politik yang saksama dan politik secara matang,” ujar beliau lagi.-pr/BNN