SIPITANG: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N35 Sindumin tampil membantu Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Sipitang mengagihkan bantuan bakul makanan kepada keluarga yang menjalani kuarantin di rumah.
Jentera UPPM yang diketuai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sindumin, Encik Sani bin Miasin bertindak pro-aktif secara sukarela membantu mengagihkan bantuan itu kepada penerima yang layak.
Sani dan pasukan UPPM Sindumin terpanggil mengambil inisiatif itu setelah ramai ketua isi rumah (KIR) yang dikuarantin, berang kerana lambat menerima bantuan makanan daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Sipitang.
Keluarga yang dikuarantin di rumah akan mendapat bantuan bakul makanan daripada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dikendalikan oleh PKOB Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah (DO).
Walau bagaimanapun apabila jumlah kes positif COVID-19 meningkat mendadak di Sipitang telah menyebabkan ramai keluarga yang dikuarantin wajib di rumah.
Menurut Sani, berikutan rungutan KIR yang telah dikuarantin di rumah lambat menerima bantuan bakul makanan, pihaknya mengambil inisiatif membantu PKOB Daerah Sipitang mempercepatkan proses pengagihan.
Katanya, semalam (6 Februari 2021) team UPPM Sindumin telah berjaya membantu menghantar sebanyak 29 bakul makanan kepada KRI yang dikuarantin di rumah dan tercicir di 8 buah kampung.
Sementara pada 5 Februari 2021, sebanyak 53 bakul makanan telah diagihkan kepada penerima di 10 buah kampung.
Manakala sebanyak 32 bakul makanan akan dihantar ke Kampung Long Pasia untuk keluarga yang dikuarantin yang akan diurus oleh Ketua Kampung, Encik Yakub Sim.
Katanya, para penerima yang layak hanya diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Ketua Kampung (KK) kerana mematuhi SOP yang dikuatkuasakan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Daerah Sipitang, Encik Masawi Haji Salleh dan Puan Faridah kerana memberi kepercayaan kepada team UPPM Sindumin membantu mengagihkan bantuan bakul makanan kepada mereka yang layak.
“Kepercayaan dan komitmen yang diberikan oleh Masawi dan PKOB Sipitang telah membantu melancar dan mempercepatkan proses penghantaran bantuan itu”, katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sani berkata, Kerajaam GRS menerusi PKOB Daerah sentiasa komited dan berusaha gigih dalam mengurus pengagihan bantuan bakul makanan kepada keluarga yang dikuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau berharap mereka yang layak dan masih belum menerima sebarang bantuan atau nama mereka tercicir agar segera mengubungi urusetia PKOB Daerah atau pihak UPPM.
Sani turut berterima kasih kepada teamnya yang terdiri daripada Puan Faridah Othman (Ketua Kerani Pejabat Daerah Sipitang), kakitangan Pejabat Daerah Sipitang, Encik William Kapong (CDO UPPM N35 Sindumin), Cik Dayang Syafikah (Penyelia Kemajuan Masyarakat (PKM)), Pemaju Mukim & Pemaju Masyarakat, JPKK dan Ketua-Ketua Kampung kerana bersama-sama membantu dan menjayakan misi pengagihan bantuan itu.-pr/,BNN