14 Mei, 2021: 1 Syawal yang sepatutnya disambut dalam suasana gembira bertukar menjadi detik paling menyedihkan buat penduduk Palestin. Ini berikutan serangan tanpa perikemanusiaan rejim Zionis Israel ke atas umat Islam khususnya di Masjid Al-Aqsa.
Diberitakan puluhan orang awam terbunuh termasuk sembilan daripadanya kanak-kanak dan seorang komander kanan Hamas serta mencederakan 65 yang lain dalam serangan udara oleh Israel pada 11 mei lalu.
Ini bukanlah kali pertama Israel bertindak sedemikian, sebaliknya kekejaman dan jenayah antarabangsa yang telah dilakukan keatas rakyat palestin telah berpanjangan sehingga berdekad lamanya. Konflik ini sukar untuk diselesaikan kerana terdapat pertikaian kawasan wilayah bagi Israel dan isu kedaulatan negara Palestin yang dihalau dari tanah mereka sendiri.
Saya secara peribadi melihat pencerobohan ataupun serangan tentera Israel ke atas Palestin bukan saja tidak berperikemanusiaan, malah mencabuli hak rakyat Palestin yang akhirnya menyaksikan banyak nyawa tidak berdosa menjadi korban.
Saya menyeru semua pihak dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan seluruh dunia Islam serta badan antarabangsa yang lain perlu mengambil tindakan tegas dan bertindak menghentikan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel ini.
Saya juga menyeru seluruh umat Islam khususnya di bumi Malaysia, marilah kita bermunajat kepada Allah SWT untuk kesejahteraan umat Islam di sana dan bersama-sama meneruskan bantahan sebagai solidariti kepada saudara kita disana.
Isu Palestin adalah melangkaui isu umat Islam dan ini merupakan isu kemanusiaan sejagat yang perlu diberi perhatian dunia. Kesengsaraan dan penderitaan umat Islam di bumi Palestin perlu dihentikan.- Oleh YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak (Terus Melangkah -sallehsaid.com)