KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yakin Sabah dapat mencapai sasaran 30,000 orang yang akan diberi vaksin setiap hari, mulai bulan depan.

“Dengan pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV), ditambah dengan bantuan daripada sektor swasta dan program bergerak Jabatan Kesihatan di kawasan luar bandar, kami akan dapat mencapai sasaran ini,” katanya.

Pada masa sama, Ketua Menteri telah mengarahkan semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) di seluruh negeri untuk menggerakkan proses pendaftaran secara agresif di semua daerah bagi mempercepatkan program vaksinasi.

Selasa lalu, Hajiji mengumumkan sebanyak 16 PPV baru dibuka bulan ini sebagai tambahan kepada 95 yang kini beroperasi bagi membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang mula diperluas kepada penduduk Sabah berumur 18 tahun ke atas.

Ketika ini, sebanyak 72 fasiliti kesihatan dan 23 PPV awam beroperasi di seluruh negeri, tambahnya.

Sabah berharap dapat mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini, dengan kerajaan negeri memperhebatkan usaha dan strategi yang akan menyaksikan 2.9 juta penduduknya menerima suntikan vaksin.

Sehubungan itu Hajiji sekali lagi mengulangi pentingnya bagi rakyat Sabah mendaftar untuk mendapat suntikan menerusi pelbagai platform yang disediakan oleh kerajaan agar matlamat untuk angka sifar kes harian dapat dicapai.

Melancarkan Kempen Sifar Pandemik COVID-19 di Sabah, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini, katanya setakat 19 Jun, seramai 326,556 orang termasuk anggota tentera telah menerima dos pertama dalam fasa pertama dan kedua.
“Adalah amat penting agar rakyat dan kerajaan bekerjasama dalam memerangi pandemik ini. Kita tidak mahu negeri ini mengalami lonjakan mendadak dalam kes positif yang
mengakibatkan kematian,” katanya.

Sehubungan itu Hajiji berkata program imunisasi, yang telah memasuki fasa Ketiga, juga memfokuskan kepada sektor pembuatan melalui Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang mana dianggarkan 10,000 pekerja dalam sektor ini di Sabah, akan menerima vaksinasi. Program PIKAS akan beroperasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) mulai Julai ini, yang menyasarkan 1,500 pekerja dalam sektor ini dijangka menerima vaksinasi, sehari.

Ketua Menteri berkata, kerajaan akan berusaha memastikan bekalan vaksin seperti Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca adalah mencukupi untuk rakyat dan Sabah akan menerima lebih banyak bekalan mulai bulan Julai dan seterusnya.

Hajiji berkata, beberapa negara seperti China, New Zealand dan Australia berjaya mencapai angka sifar kes harian dengan pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan yang paling penting, mempercepat proses pengambilan vaksin kepada seluruh rakyat di negara mereka.

“Kempen Sifar Pandemik COVID-19 adalah inisiatif bersama antara kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan yang bertujuan mewujudkan penanda aras baharu bagi masyarakat di negeri ini dan pentingnya mencapai angka sifar kes harian,” katanya.

Malaysia kini menghadapi gelombang ketiga penularan pandemik itu menyebabkan kerajaan tiada pilihan selain melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)3.0 di seluruh negara.

“Pandemik ini tidak akan dapat dihentikan jika kita menganggap kita telah menang
setiap kali kelonggaran diberikan dalam setiap perlaksanaan secara berperingkat yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Sangat penting bagi masyarakat untuk terus mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP dalam rutin harian mereka selama ada kes yang aktif di negara kita.

“Adalah penting untuk melihat kes positif tiga angka yang didaftarkan di Sabah setiap hari. Ini harus menjadi peringatan bagi kita untuk tidak berpuas hati tetapi waspada dan terus mematuhi SOP,” katanya.

Kerajaan mengakui kesulitan yang dihadapi oleh rakyat dengan setiap penguatkuasaan yang ditetapkan kerajaan.

“Namun begitu, kita perlu sedar apabila kelonggaran SOP diberikan, peningkatan kes harian meningkat naik dengan begitu mendadak sekali,” katanya.

Turut menyertai perasmian majlis secara virtual itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba selain Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmy Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr Safar Untong dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi.-pr/BNN