KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menyokong penuh tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melaksanakan pelonggaran SOP untuk Sabah.
Pengerusinya, Datuk Mohd.Nazri Abdullah berkata, keputusan Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat tepat pada masanya.
“Ini memandangkan jumlah kes COVID-19 di Sabah telah terkawal dan semakin menurun berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
“Tambahan pula kita kini berada di peringkat pemulihan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Seri Panglima Muhyiddin Yassin, Isnin lalu”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini pelaksanaannya ke peringkat 3.0 telah memberi kesan yang serius kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Mohd Nazri berkata, rakyat khususnya peladang amat terkesan dengan PKP yang melaksanakan sekatan dan kawalan pergerakan secara penuh.
Menurutnya, petani dan peladang tidak dapat menjual hasil pertanian mereka seperti sebelum PKP sehingga menjejaskan pendapatan keluarga mereka.
“Rakyat di luar bandar khususnya peniaga kecil-kecilan dan penjaja tidak dapat berniaga atau membuka kedai, gerai jualan di tepi-tepi jalan, di perkarangan rumah atau di tamu.
“PKP telah menyumbang kepada kadar pengangguran meningkat, bilangan isu rumah miskin bertambah, sekaligus menyebabkan kehidupan rakyat biasa semakin susah, walaupun Kerajaan Persekutuan dan Negeri ada menyediakan pelbagai pakej bantuan untuk rakyat”, tegasnya.
Katanya, pelonggaran SOP untuk Sabah dengan beberapa sektor ekonomi dibenarkan beroperasi seperti yang diumumkan oleh Hajiji amat dialu-alukan oleh segenap rakyat di Sabah.
“Ini amat baik untuk negeri Sabah. Kita perlu imbangkan antara nyawa dan kehidupan.
“PKP dan SOP yang ketat memang penting untuk mengekang penularan COVID-19, namun bagi negeri-negeri yang kurang kes COVID-19, Kerajaan wajar membenarkan aktiviti ekonomi beroperasi.
“Kerajaan Persekutuan wajar menimbang permohonan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pelonggaran SOP di Sabah dan negeri-negeri lain sesuai dengan status terkini kes COVID-19”, tegas Mohd.Nazri.-pr/BNN