KOTA KINABALU: Sabah diberi keutamaan untuk menerima vaksin dos tunggal CanSino apabila Malaysia menerima tiga juta bekalan pada bulan depan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), memberi jaminan itu kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam pertemuan secara maya di sini pada Jumaat.
“Kami akan membuat penghantaran pertama untuk Sabah dan juga, kami akan memberitahu dan memberi pilihan kepada Sabah mengenai Johnson & Johnson (vaksin satu dos),” tambahnya. Khairy mengatakan ini sebagai maklum balas terhadap permintaan Ketua Menteri untuk lebih banyak bekalan vaksin dihantar ke Sabah untuk mencapai
sasaran vaksinasi negeri ini iaitu sebanyak 60 peratus menjelang bulan Oktober
sekali gus mencapai imuniti kelompok pada akhir tahun ini.
”Ia juga penting bagi kita agar dapat menjangkau masyarakat di kawasan pedalaman dan pulau-pulau terpencil yang mana mobiliti mereka terkesan oleh keadaan muka bumi yang agak sukar dan jauh,” katanya.
“Kami telah membuka 177 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri hingga kini, dan dengan kemudahan jangkauan luar (mobile outreach) serta program Vaksinasi Medic Tentera Darat, kami berada di landasan tepat untuk memastikan lebih ramai akan menerima vaksin,” kata Hajiji memaklumkan kepada Khairy.
Mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas semua kerjasama yang diberikan kepada Sabah dalam program vaksinasi, Hajiji menyambut baik tindakan Khairy di tengah-tengah kekangan bekalan vaksin ketika ini. Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin, menjelaskan bahawa PPV Integrasi pertama Sabah akan bermula minggu depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
PPV Integrasi akan memberi vaksin secara percuma dan membenarkan hospital swasta membantu untuk mempercepatkan proses vaksinasi sekali gus mengurangkan beban yang dihadapi hospital awam ketika ini,” katanya.
Yang turut hadir dalam pertemuan maya itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Safar Untong. Bersama Khairy ialah Penasihat Khas kepada YAB Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohammad Ab Rahman.-pr/BNN