KOTA KINABALU: Pergerakan Puteri UMNO Sabah hari ini membalas kenyataan video yang dimuatnaik oleh Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung peningkatan jumlah kes Covid-19 di negeri ini.
Menurut Ketuanya, Fadilah Sarbi, berdasarkan rekod terbaharu, sememangnya jumlah kes meningkat dan mencecah lebih 3,000 kes sebelum ini namun ia perlu dilihat dengan kadar kes terbaharu yakni, 2,329 kes pada 3 Sept, 2021 manakal jumlah kes sembuh lebih tinggi dicatatkan iaitu sebanyak 3,355 kes.
“Untuk makluman pemimpin Sabah tidak pernah berhenti menyuarakan tentang vaksin ini.
Cakap saja di peringkat kerajaan mahupun pembangkang sama ada pemimpin kecil dan besar. Dengan kadar populasi 3.9 juta dan keluasan negeri Sabah 73,631 km persegi (kedua terbesar di Malaysia) dan topografi yang pelbagai maka usaha untuk pencapaian agak rendah,”katanya.
Terdahulu, semalam, Ahli Parlimen Muar itu memuatnaik sebuah video yang mempersoalkan peningkatan kes Covid-19 di Sabah dan mendakwa jumlah pendaftaran vaksinasi di negeri ini adalah antara terendah di seluruh negara.
Syed Saddiq dalam pada itu turut mendakwa kadar pemberian vaksin di Sabah dua kali ganda ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.
Dalam pada itu, Fadilah turut mengulas kadar pemberian vaksin di negeri ini di mana beliau meminta semua pihak membuka mata dengan Sabah merupakan negeri keempat tertinggi di seluruh negara menerima vaksin.
“Negeri Sabah menerima vaksin keempat tertinggi di Malaysia iaitu setakat 3 September, kira-kira 2.8 juta (dos pertama dan kedua) dan tidak termasuk vaksin jenis CanSino telah tiba di negeri ini.
“Dengan jumlah menghampiri 50,000 dos setiap hari dalam tempoh sebulan lagi nanti, saya percaya kita akan mencapai imuniti kelompok,” katanya.
Jelas beliau lagi, pihaknya tidak menuding jari terhadap ahli parlimen pembangkang itu berhubung situasi di Sabah namun ianya perlu diteliti dengan fakta peratus bersama angka atau nombor yang ada.
“Bagaimanapun, pihak kami menyatakan terima kasih terhadap keperihatinan beliau (Syed Saddiq) berhubung isu ini.Penjelasan ini bukan bermakna kami ingin mengajar, tetapi untuk sama-sama kita celik.
“Semoga kita semua mencapai imuniti kelompok dengan cepat, semua pihak perlu berkerjasama, vaksin disalurkan secara konsisten, rakyat perlu peka (selain MySejahtera dan program outreach) malah keterbukaan menerima vaksin serta penjagaan SOP perlu diamalkan dari semasa ke semasa,” jelasnya lagi.-pr/BNN