BEAUFORT: Pelaksanaan inisiatif Food Bank Lumadan Prihatin Sejahtera terus diperkembang untuk membantu penduduk yang terkesan oleh pandemik Covid-19, dengan melibatkan gereja dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN Lumadan.
Food bank (tabung makanan) tersebut, yang merupakan inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam,  telah dibuka dan beroperasi di 32 masjid dalam kawasan DUN tersebut.
Dan hari ini, Ruslan bersama Pengerusi Food Bank Lumadan Prihatin Sejahtera, Abd. Aziz Abd. Lazjim, secara simbolik melancarkan pembukaan Food Bank Lumadan Prihatin Sejahtera di tiga buah gereja.
Gereja yang bersama menjayakan inisiatif food bank ini ialah Gereja St. Joseph Kampung Laboi, Meraba, Gereja St. Michael Batu 6 Lumadan dan Gereja Bonda Maria Ratu Rosari Kg. Binunuk.
“Ini adalah sejajar dengan hala tuju Lumadan Sejahtera memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat.
“Dengan adanya Food Bank ini, mereka yang memerlukan bahan mentah boleh lah datang mengambil ikut keperluan di food bank di masjid-masjid dan gereja-gereja yang berkenaan,” kata Ruslan dalam kenyataan medianya hari ini.
Katanya, food bank ini terbuka bukan sahaja kepada penduduk yang terkesan di masa pandemik Covid-19, bah kan juga sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir dan sebagainya, mereka yang terkesan boleh datang mengambil bahan mentah ini untuk kegunaan harian.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada tiga buah gereja yang sudi bersama menjayakan Food Bank Lumadan Prihatin Sejahtera ini.
“Saya juga menyeru kepada mana-mana individu mahupun badan bukan kerajaan (NGO) agar dapat bersama memberikan sumbangan barangan bahan makanan mentah di setiap masjid dan gereja yang mempunyai food bank.
“Saya berharap dengan ikatan tali persaudaraan tanpa mengira pegangan agama mahupun idelogi yang berbeza akan mengekalkan keharmonian demi kesejahteraan kita bersama,” kata Ruslan yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn Bhd.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pemimpin kampung yang turut serta dalam acara simbolik pembukaan Food Bank Lumadan Prihatin Sejahtera, pengerusi pengerusi dan AJK gereja serta AJK Food Bank Lumadan Prihatin Sejahtera.-pr/BNN
Hj Ruslan (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi Gereja St. Michael Batu 6 Beaufort, hari ini.