KOTA KINABALU: UMNO Sabah akan menghantar jenteranya bagi membantu calon-calon Umno/Barisan Nasional dalam pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan bakal diadakan pada 20 November ini.
Ketuanya Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar) berkata jentera yang diwakili dari bahagian,Wanita,Pergerakan Pemuda dan Puteri itu akan berkampung di Melaka pada waktu berkempen dan menjelang pembuangan undi.
“ Kita akan menghantar jentera dan akan diletakkan pada satu kawasan daerah mengundi yang ditentukan kemudian yang merangkumi beberapa buah kawasan DUN” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dan sesi taklimat bersama Ketua-Ketua bahagian dan Ketua Ketua Sayap Wanita,Pemuda dan Puteri Umno di bangunan Umno Sabah baru-baru ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Umno Sabah Datuk Yakub Khan,Setiausaha Umno Sabah Datuk Jafry Ariffin , Bendahari Umno Sabah Suhaimi Nasir dan Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Raime Unggi.
Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, jentera akan lebih banyak berkempan dari rumah ke rumah dalam kelompok kecil bagi mematuhi SOP yang ditetapkan.
Terdahulu ketika menyampaikan Amanat di majlis tersebut Ketua Umno bahagian Kinabatangan ini mahukan semua kepimpinan Umno bahagian Wanita Pemuda dan Puteri fokas kepada usaha memperkukuhkan parti melalui gerak kerja di bahagian masing-masing.
“ Kita jangan fikir perkara lain, keutamaan kita adalah memperkukuhkan jentera parti, apabila parti kita kuat dan kukuh kita akan dihormati” katanya.
Menurut beliau soal calon dan pemilihan parti ketepikan dahulu yang penting Umno perlu kukuh dan berada di landasan yang betul untuk berhadapan dengan Pilihanraya Umum akan datang.
“ Saya selalu tegaskan Umno mempunyai struktur yang lengkap dari bahagian ,Wanita,Pemuda dan Puteri dan cawangan ,apabila struktur ini dapat melaksanakan tanggungjawab serta peranan masing-masing tidak ada sebab kenapa Umno tidak dilihat sebagai sebuah parti lemah dan berpengaruh” tegas Bung.-pr/BNN