KOTA KINABALUl Ada berita baik dalam soal bajet melibatkan Sarawak yang mana kita terima peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.6 bilion.

Sebanyak RM1.5 bilion ringgit disediakan untuk pembangunan infrastruktur luar bandar
Sabah dan Sarawak.

Selain itu, tambahan 20 bank bergerak dijangka beroperasi merangkumi 250 kawasan
dan mukim di luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak.

Kerajaan juga teruskan subsidi sebanyak RM209 juta bagi perkhidmatan pengangkutan
udara di Sabah dan Sarawak.

Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan atas keprihatinan terhadap Sarawak dan
Sabah pada bajet kali ini namun saya rasakan peruntukan bajet kali ini harus diberi
lebih perhatian kepada Sabah dan Sarawak, kerana tumpuan lebih perlu diberikan
kerana kita maklum akan keadaan di luar bandar terutama keperluan infrastruktur dan
fizikal yang amat diperlukan oleh rakyat di negeri ini.

Selain itu kita juga sedia maklum pembangunan pesat yang sedang berlaku di
Kalimantan berikutan pemindahan ibu negara Indonesia ke wilayah tersebut. Oleh itu
pembangunan dan keperluan untuk lebih banyak projek yang mampu menjana ekonomi
di kawasan sekitar yang terlibat adalah amat penting bagi memastikan limpahan
ekonomi dan pembangunan akan dapat dirasai dan dinikmati bersama rakyat Sarawak.

Namun saya juga faham akan keadaan negara ketika ini yang baru nak bernafas
kembali setelah dilanda pandemik hampir dua tahun yang amat memberi kesan kepada
rakyat dan negara. Pada masa sama saya berharap tumpuan lebih dapat diberikan
kepada Sarawak pada masa hadapan.

Saya juga melihat Bajet ini adalah untuk kepentingan semua lapisan masyarakat dan
untuk pembangunan negara dan tidak timbul isu ia adalah bajet pilihan raya. Saya
melihat berikutan hasil kejayaan program imunisasi COVID 19 yang di rancang di
bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebelum ini rakyat sudah mula menikmati
hasilnya sekarang serta mula lega dan bebas bergerak selain ekonomi kembali rancak
bersama beberapa sektor lain yang sudah turut menarik nafas lega.

Apa yang penting kita perlu kembalikan keyakinan rakyat dan pulihkan ekonomi serta
sosial negara dan bukan sekadar polemik atau gula gula untuk rakyat sebagai
persediaan pilihan raya. Walau apapun rakyat perlu diutamakan dan jangan lagi
dibiarkan ada mereka yang masih kelaparan dan tidak bekerja. Itu lebih penting ketika
ini.

Bajet 2022 dan fokus terhadap bidang pendidikan
Saya juga melihat kerajaan kali ini lebih serius dalam soal pendidikan dengan banyak
peruntukan dan perancangan yang dilihat mampu menambah baik sektor pendidikan terutama bidang TVET di negara ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia menerima peruntukan terbesar iaitu sejumlah RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan manakala Kementerian Pengajian Tinggi diperuntukkan sejumlah RM14.5 bilion.

Kerajaan juga bersetuju sediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150, dijangka manfaatkan 3 juta murid-murid yang layak manakala sebanyak RM1 bilion disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah.

Kerajaan juga membantu tanpa mengira kaum apabila sebanyak RM120 juta pula
disediakan untuk manfaat 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil.

Lebih menarik lagi sebanyak RM746 juta diperuntukkan untuk naik taraf sekolah-
sekolah daif, dan sebilangan besar adalah di Sarawak iaitu melibatkan 165 projek.

Ini sangat membantu kerana kita maklum bagaimana keadaan sekolah di Sarawak
terutama di pedalaman.

Selain itu pembangunan bakat juga amat perlu dititikberatkan. Aset terbesar kita iaitu
generasi belia negara adalah nadi kepada pembangunan. Kita harus memperkasakan
generasi masa hadapan melalui pendidikan dan memperbanyakkan lagi program untuk
pembangunan bakat supaya negara kita boleh berdaya saing dengan negara-negara
maju.

Saya melihat Bajet 2022 ini menumpukan kepada kepentingan perkembangan
bakat dan ia harus ditambah baik lagi supaya generasi masa hadapan dapat tertumpu
dalam arena sains dan teknologi dengan lebih banyak dan dan meluas.

Penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam Bajet 2022

Saya amat berharap tumpuan lebih dapat diberikan terhadap Sarawak dan Sabah kerana masih banyak perlu dilakukan terhadap rakyat di negeri ini. Saya amat berharap pembangunan kemudahan internet di luar bandar dapat diperhebatkan kerana ia sudah
menjadi satu keperluan penting ketika ini terutama dalam melibatkan soal pendidikan
dan ekonomi baharu sekarang yang memerlukan rangkaian internet lebih meluas dan
menyeluruh.

Saya juga berharap kemudahan infrastruktur penting diberi perhatian lebih apatah lagi
dalam berhadapan pembangunan pesat melibatkan ibu negara baharu Indonesia ke
Kalimantan supaya limpahan dan nikmat ekonomi dan sosial dapat dikongsi dan

dinikmati bersama. Kita tidak mahu lagi ketinggalan sedangkan peluang untuk
meningkat maju sudah ada di depan mata. Indonesia bakal menjadi ekonomi kelima
terbesar dunia pada masa hadapan dan ia bakal memainkan peranan besar di rantau
ASEAN.

Oleh itu jika kita tidak bertindak dari sekarang ditakuti kesannya hanya akan
merugikan kita sendiri dan peluang sebegini perlu ditangani segera kerana manfaatnya
jelas dapat dikongsi bersama rakyat terutama di luar bandar.-

Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian