Seperti yang diketahui Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) negeri Sabah dilanda krisis kepimpinan sejak kepimpinan negeri diambil alih Christina Liew selepas Allahyarham Lajim Ukin meninggalkan parti.
Sebelum ini Keadilan Sabah merupakan parti pembangkang paling dominan namun ia menjadi suram selepas Christina mengambil alih tampuk kepimpinan.
Christina bukan sahaja gagal membantu cabang-cabang Keadilan di negeri ini kecuali jika ada keperluan untuk diri beliau, Christina juga dilihat tidak serius dalam mengemudi parti ini.
Ia semakin terserlah selepas kegagalan Christina Liew mengekalkan beberapa kerusi yang ditandingi Keadilan pada 2013 lalu apabila Keadilan cuma bertanding 8 daripada 60 kerusi DUN pada 2018. Malah 5 dari 8 kerusi yang ditandingi merupakan kawasan hitam yang telah ditolak semua sekutu termasuk Warisan.
Lebih menyedihkan walaupun pada Pilihanraya Negeri Sabah tahun lalu terdapat pertambahan 13 kerusi DUN baharu menjadikannya 73 kerusi, namun kuota untuk Keadilan dikurangkan kepada 7 kerusi. Keadilan berada di tahap paling hina dalam sejarah sejak parti keramat ini mula bertapak di Sabah pada 1999. Dan ini tidak termasuk beberapa isu dalaman yang agak menyedihkan buat saya sebagai anak muda yang melihat masa depan yang cerah dalam parti ini.
Saya yakin Presiden Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia maklum bahawa 17 daripada 26 Ketua Cabang telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk menolak Christina Liew sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Sabah selain 5 Cabang berkecuali dan 4 Cabang menolak. Malah dalam SD yang telah diserahkan kepada Presiden turut disertakan nama Ketua Cabang yang disokong untuk mengemudi bahtera Keadilan Sabah.
Sebagai sebuah parti Reform yang mengamalkan demokrasi, saya yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akur terhadap keputusan akar umbi. Ketua-Ketua Cabang sebelum ini telah bersetuju untuk mengekalkan Christina Liew selepas Pemilihan Keadilan 2018 bagi mengelakkan kepimpinan negeri diambil alih oleh ‘kartel’ yang pada hari ini telah meninggalkan parti. Namun kegagalan demi kegagalan Christina terus terserlah dan berdiam diri bukanlah jalan penyelesaian.
Saya juga dimaklumkan Christina sedang mengadakan jelajah ke setiap zon di Sabah dengan menggunakan nama ‘penerangan berkaitan Agenda Reformasi Sabah’. Namun tujuan sebenar beliau adalah untuk menarik sokongan Ketua-ketua cabang tetapi tidak mendapat sambutan daripada ketua-ketua Cabang, Wanita, Amk dan Serikandi Keadilan di Sabah.
Oleh itu saya menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim segera mengambil tindakan untuk menyelesaikan perkara ini sebelum ianya menjadi semakin parah.
Ini adalah masa yang sangat sesuai untuk merombak semula kepimpinan Keadilan Sabah agar parti ini dapat bergerak dengan baik dalam langkah persediaan menghadapi Pilihanraya Umum ke-15.
LawanTetapLawan
TOMMY THOMAS
-Ketua AMK
Cabang Tawau