KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pitas dan Kota Marudu, hari ini.
Di Pitas, beliau melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas 2. Selain mendengar taklimat ringkas banjir, Hajiji turut menyerahkan bantuan wang ihsan RM1,000 dan bakul makanan kepada seramai 94 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir.
Sementara di Kota Marudu, beliau mendengar taklimat bencana alam banjir di
Pejabat Daerah Kota Marudu dan menyerahkan bantuan wang ihsan RM1,000 dan bakul makanan kepada seramai 132 KIR mangsa banjir di Pentas Utama Dataran Bandau.
Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berusaha sedaya yang mampu membantu rakyat yang terjejas akibat bencana banjir.
“Kita memerlukan laporan yang terperinci, cepat, tepat dan adil daripada Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah agar kerajaan dapat mengambil tindakan susulan dengan segera”.
“Kerajaan GRS prihatin dan tidak akan membiarkan rakyat yang terjejas akibat bencana banjir. Kita akan memberikan bantuan kepada mereka”, katanya.
Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Bencana Banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri memutuskan antara bantuan yang akan diberikan Kerajaan Persekutuan ialah bantuan tunai ihsan RM1000 setiap KIR yang dipindah ke PPS, bantuan tunai RM10,000 kepada waris yang meninggal, insentif untuk pembelian barang keperluan, bayaran untuk membaiki kenderaan dalam bentuk baucer RM1,000 dan bantuan kerosakkan rumah.
Hajiji diiringi oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Datu Rosmadi Sulai dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan,-pr/BNN