KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baru berusia lebih setahun perlu terus diperkukuhkan selaras dengan mandat yang diberikan oleh rakyat, kata Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Encik Jasnih Daya.
Katanya, Kerajaan GRS juga perlu diperkuatkan dengan fokus utama membela Kesejahteraan rakyat dan membangun negeri ini.
“GRS merupakan nadi kepada Kerajaan Negeri hari ini, justeru kita perlu terus perkukuhkan dan mantapkan kerajaan sedia ada.
“Ini juga selaras dengan seruan dan kehendak Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang mahu Kerajaan GRS terus dipertahankan dalam apa juga keadaan sekalipun,katanya selepas mengadakan
“Walkabout” Tahun Baharu Cina (CNY) dan mengagih-agihkan Kad  CNY dan Limau Mandarin di Pekan Tuaran, hari ini.
Jasnih mengulas kenyataan Bung semalam yang mengulangi bahawa Kerajaan GRS harus dipertahankan dalam apa juga keadaan sekalipun, untuk mengelakkan berlaku pilihan raya negeri.
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, “kita tidak mahu ada pilihan raya berlaku. Sebab kita di Sabah baharu sahaja mengadakan pilihan raya, baharu setahun lebih. Jadi kalau ada lagi pilihan raya, sudah tentu tidak menyenangkan rakyat dan rakyat akan marah kepada kita”.
“Sebab itu saya telah mengambil pendekatan untuk pastikan bahawa kerajaan yang kita bina ini akan terus mendapat sokongan daripada rakyat,” katanya semasa mengulas pergolakan politik masa kini yang amat mencabar, terutamanya di peringkat nasional.
Jasnih yang menyokong kenyataan Bung menegaskan, fokus utama Kerajaan GRS ialah membangun negeri Sabah dan membela nasib rakyat ketika negeri dan negara dalam pasca pandemik COVID-19.
Katanya, pemimpin parti-parti komponan dalam GRS juga perlu kurangkan “politiking”, sebaiknya memberi fokus membantu rakyat dan membangun negeri.
Menurutnya, rakyat telah memberi mandat kepada GRS mentadbir negeri ini, dan mereka mahu pemimpin Kerajaan Negeri GRS menunaikan amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan dedikasih.
“Sebarang usaha oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang cuba untuk menggugat kestabilan politik sedia ada di Sabah dibawah Kerajaan GRS harus ditolak”, tegas Jasnih
Mengulas Retreat Wakil Rakyat dan pemimpin Kerajaan GRS yang akan diadakan pada bulan Februari, beliau yakin ia  akan memantapkan lagi persefahaman, perpaduan dan kerjasama dalam keluarga GRS.-pr/BNN