TAMBUNAN:Seramai 21 orang peserta yang berumur dari 13 sehingga 60 tahun dari sini telah mengikuti program kelas asas memanah tradisional yang dianjurkan Rawja Archery dengan kerjasama Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu (KESATRIA), semalam.
Kelas asas memanah tradisional terbabit telah diadakan bertempat di Masjid Nurul Hidayah Kampung Monsok, di sini dengan bimbingan tiga orang jurulatih bertauliah dan enam orang pembantu jurulatih KESATRIA
termasuk seorang daripadanya adalah mantan Penolong Pegawai Daerah Tambunan, Hashim Ibrahim, bermula dari jam sembilan pagi sehingga lima petang.
Presiden KESATRIA, Md Suhaimi Sapiee berkata kelas yang dikendalikan dibawah bimbingan pihaknya ini dibahagikan kepada dua sesi kelas.
“Sesi pertama kelas merupakan sesi teori memanah tradisional selama satu jam tiga puluh minit.”
“Kemudian diteruskan dengan lima jam sesi praktikal yang dimulai dengan cara membuka dan memasang tali busur, adab membuka dan menutup busur sebelum dan selepas memanah, memanah statik, tujuh langkah memanah, memanah dalam pelbagai posisi dan memanah dinamik sehingga selesai.”
“Saya berasa gembira melihat perkembangan pesat aktiviti memanah tradisional semakin mendapat sambutan menggalakkan sejak kebelakangan ini khususnya di institusi masjid di negeri Sabah yang gigih membangunkan aktiviti sunnah memanah di masjid masing-masing.”
“Ini selaras dengan usaha ke arah pembentukan Persatuan Memanah Tradisional Negeri Sabah yang telah diusahakan Kesatria sejak 2017 lagi. Ini seterusnya akan membentuk Persatuan Memanah Tradisional Malaysia melalui gabungan enam persatuan negeri di Malaysia kelak.”
“Kelas asas memanah tradisional yang dirangka KESATRIA ini dilaksanakan mengikut silibus khusus dimana kesemua peserta wajib melengkapkan keseluruhan sesi sebelum layak diberikan sijil Asas Memanah Tradisional,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Nurul Hidayah, Raju Uddin Mohd Ajay berkata pihaknya melihat aktiviti memanah tradisional ini mampu menjadi salah salah satu medium berdakwah di samping menarik orang ramai khususnya golongan belia untuk lebih aktif mengikuti aktiviti anjuran masjid.
“Pihak kita juga berhasrat untuk membeli peralatan memanah bagi kegunaan kariah masjid yang berminat dan seterusnya akan menubuhkan kelab memanah tradisional berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan Negeri Sabah yang pertama di daerah Tambunan dengan bimbingan dari Kesatria.”
“Pihak kami berterima kasih kepada Presiden KESATRIA, jurulatih dan pembantu jurulatih kelab yang hadir bagi menjayakan kelas asas memanah tradisional ini. Sekurang-kurangnya kami telah bermula dengan betul,” katanya.
Salah seorang peserta program yang mengikuti kelas terbabit, Nurfadhillah Sazwani Raju Uddin, 26, ketika ditemui menyifatkan kelas yang disertainya ini disampaikan dengan jelas secara teori dan praktikal oleh jurulatih KESATRIA.
“Kini saya menjadi lebih yakin dan minat untuk terus memanah setelah mengetahui adab serta tatacara keselamatan dalam aktiviti memanah tradisional melalui kelas asas ini,” katanya.
Seorang lagi peserta remaja, Zulhilmi Hazazi Tius, 16, berkata, beliau berazam untuk terus memanah secara konsisten selepas menyertai sesi praktikal kelas terbabit dan rasa berbaloi menyertai kelas yang dianjurkan.-pr/BNN