TUMPAT:Dakwaan yang mengaitkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) gagal menjaga kebajikan Orang Asli adalah tidak benar.
Sebaliknya menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kewujudan JAKOA itu sendiri menjadi bukti kesungguhan kerajaan dalam menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli menerusi pelbagai peruntukan yang disalurkan setiap tahun.
“Ia merangkumi soal pendidikan, kemudahan asas, kegiatan ekonomi dan sebagainya,” katanya selepas mengulas dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa kerajaan tidak menjaga kebajikan Orang Asli di negara ini.
Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along mendakwa usaha meningkatkan taraf hidup Orang Asli gagal kerana kecuaian JAKOA dalam memantau projek yang diluluskan untuk pembangunan Orang Asli.
Dakwaan itu tegas Mahdzir, sama sekali tidak benar kerana kerajaan sentiasa membela nasib golongan berkenaan dalam pelbagai bidang.
“Untuk makluman seramai 53 Orang Asli sedang melanjutkan pelajaran di luar negara, manakala 918 orang menyambung pengajian di universiti tempatan.”
Tambah beliau, terdapat lebih 207 ribu Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia yang tinggal di 853 buah kampung.
Kesungguhan Malaysia menjaga kebajikan Orang Asli kata Mahdzir, telah menarik minat negara luar untuk melihat bagaimana kerajaan menjaga kebajikan masyarakat berkenaan.
Sebelum itu, Mahdzir merasmikan Program Bekwoh Rakyat Keluarga Malaysia dan Agihan Zakat FELCRA Berhad di Pantai Geting, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KPLB, Mas Rizal Mohd Helmi, Pengerusi FELCRA Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Mohamad Yasid Bidin dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria.