KOTA KINABALU: Amalan berkongsi dan meraikan semua perayaan tanpa mengira
bangsa dan agama adalah keunikan rakyat di negeri ini yang perlu dipertahankan, kata
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Seperti sambutan Pesta Kuih Bulan atau juga dikenali sebagai Perayaan Pertengahan
Musim Luruh, katanya walaupun disambut oleh masyarakat Cina tetapi perayaan ini
turut dimeriahkan oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini.

“Amalan kongsi raya atau pesta kebudayaan oleh semua kaum untuk perayaan seperti
Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Pesta Kaamatan, Deepavali dan Krismas
merupakan keunikan kita di Sabah yang harus dipertahankan sejajar dengan konsep
Keluarga Malaysia.

“Justeru, sambutan Pesta Kuih Bulan ini walaupun diraikan oleh masyarakat Cina tetapi
ia turut dimeriahkan oleh masyarakat lain sekali gus dapat menyatupadukan rakyat
pelbagai kaum serta agama di negeri ini.

“Amalan seperti ini perlu terus dilakukan demi keutuhan perpaduan serta keamanannegara secara berterusan,” katanya ketika merasmikan Pesta Kuih Bulan 2022 di
Padang Merdeka di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri
Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata kerajaan negeri Sabah terus memberi sokongan
kepada rakyat pelbagai kaum dan agama untuk meraikan perayaan serta kebudayaan
masing-masing di negeri ini.

Beliau berkata suasana seperti itu mesti dikekalkan agar rakyat terus bersatu padu
tanpa mengira perbezaan sebagai keluarga Malaysia.

“Kita hidup dalam lingkungan masyarakat pelbagai bangsa, agama dan budaya
bukannya baru malah kita saling hormat menghormati antara satu sama lain.

 

“Inilah kekuatan dan keunikan negeri Sabah. Kerajaan negeri juga akan terus menjaga
kebajikan semua rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama serta memastikan
hubungan erat dan perpaduan semua kaum di Sabah dipertahankan.

“Dalam beberapa hari lagi, kita akan meraikan Hari Malaysia yang ke-59 dan saya
berharap semangat patriotism dalam kalangan rakyat Malaysia di Sabah akan terus
diperkukuhkan dan pesta ini mampu memantapkan lagi perpaduan,” katanya.-pr/BNN