KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah, Sabah Energy
Corporation (SEC) kini menjadi pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di
Sabah, sekaligus sebagai antara pemain utama industri minyak dan gas di Malaysia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, dengan pemerolehan
kontrak gas PETRONAS di Sabah, SEC telah menjadi pembekal dan pengangkut gas
asli domestik terbesar di negeri ini, yang akan terlibat memindahkan lebih daripada
250MMscfd (Million Standard Cubic Feet Per Day) gas asli ke IPP sedia ada.
Menurutnya, dengan pangkalan pelanggan yang lebih besar dan kawalan infrastruktur,
SEC bersedia untuk mengembangkan lagi perniagaan gasnya di Sabah, selaras dengan
hasrat Kerajaan Negeri untuk melihat peningkatan penyertaan GLC negeri dalam
industri minyak dan gas.
“SEC terlibat secara signifikan sebagai antara pemain utama industri minyak dan gas di
Malaysia, adalah selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya untuk memajukan industri
minyak dan gas di Sabah.
“Justeru, Kerajaan Negeri amat berbesar hati dengan pemeteraian pelbagai perjanjian
gas dengan PETRONAS kerana ia menyokong pertumbuhan industri gas hiliran di
negeri ini”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Gas Asli dan
Pertukaran Dokumen Perjanjian Jual Beli Aset dan Perniagaan Gas di antara
PETRONAS dan Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) di Sabah International
Convention Centre (SICC), hari ini.
Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan merangkap Menteri
Kewangan II, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun.
Katanya, Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Gas Asli dan Pertukaran Dokumen
Perjanjian Jual Beli Aset dan Perniagaan Gas menandakan satu lagi pencapaian
penting bagi negeri Sabah selepas termeterainya Perjanjian Kerjasama Komersial atau
Commercial Collaboration Agreement (CCA) antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS
pada 7hb Disember 2021.
“Sesungguhnya, ini merupakan satu lagi bukti kejayaan Kerajaan Gabungan Rakyat
Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) dalam menjalin hubungan baik dengan Kerajaan
Pusat dan PETRONAS, di dalam satu ekosistem yang saling melengkapi dan
seterusnya mengecapi kemakmuran bersama”.
”Bertitik tolak daripada pemeteraian Perjanjian Induk (Heads of Agreement – HOA)
antara SEC dan PETRONAS untuk pembekalan gas asli berjumlah 120 MMscfd yang
telah dicapai sebelum ini, Perjanjian Bekalan Gas Asli (Gas Supply Agreement – GSA)
akan memberi peluang kepada Kerajaan Negeri Sabah melalui SEC untuk menerajui
aktiviti pemasaran dan pengagihan gas asli bagi menarik pelaburan domestik dan
antarabangsa”.
“SEC akan memainkan peranan utama dalam meningkatkan penggunaan gas asli untuk
kegunaan industri pembuatan dan tenaga melalui talian perpaipan gas asli yang akan
diambil alih daripada PETRONAS bermula pada 1 Januari 2023”, tegasnya.
Beliau berkata, melalui usaha kolaboratif itu, SEC akan memiliki dan mengoperasikan
infrastruktur gas asli hiliran utama di Negeri Sabah. Dengan pengambilalihan
perniagaan gas asli yang dimiliki oleh PETRONAS pula, SEC akan membekalkan 86%
bahan bakar bagi tujuan janakuasa di negeri ini.
Dengan ini, katanya Kerajaan Negeri melalui SEC akan dapat maju ke hadapan dalam
meneroka potensi penuh rantaian industri gas asli negeri ini yang pastinya memberikan
pulangan ekonomi yang baik kepada negeri Sabah,sekali gus akan membolehkan
Sabah mendapatkan bukan sahaja perkongsian hasil yang lebih besar tetapi penyertaan
dan penguasaan yang lebih besar dalam hal-hal minyak dan gas.
Hajiji berkata, sumber tenaga berasaskan gas asli adalah lebih bersih dan kompetitif
berbanding sumber tradisional seperti diesel dan Gas Petroleum Cecair (LPG).
Justeru beliau berharap pemain industri di Negeri Sabah akan mendapat manfaat
melalui harga tenaga yang lebih murah supaya dapat membantu mengurangkan kos
menjalankan perniagaan di negeri ini. Melalui penggunaan gas asli juga, Kerajaan
Negeri akan dapat mengurangkan kadar pelepasan karbon di udara untuk mencapai
pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050”.
“Adalah menjadi aspirasi saya untuk Sabah meletakkan secara sah tuntutannya dan
melakar jalan yang memberi manfaat kepada rakyat serta generasi akan datang. Kami
akan terus berusaha untuk pembangunan yang saksama. Melangkah ke hadapan,Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada apa yang perlu dilakukan untuk
mengenal pasti dan membangunkan lebih banyak infrastruktur untuk pelaburan masa
depan, dalam usaha mewujudkan lebih banyak peluang dan pembangunan kepada
rakyat Sabah. Ini akan dilakukan melalui kerjasama, dengan Kerajaan Persekutuan,
PETRONAS dan pelabur bernilai tinggi”, tegasnya.-pr/BNN