KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar) menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan tentang peningkatan mendadak jumlah pengundi berdaftar di Sabah.
Jelas beliau, peningkatan mendadak pengundi berdaftar sungguh meragukan berbanding jumlah pengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, iaitu pertambahan sebanyak lebih 50 peratus dalam pilihan raya akan datang (PRU15).
Tambah Bung Moktar lagi, lebih meragukan terdapat peningkatan pengundi Bumiputera Islam yang tinggi di kawasan-kawasan Kadazan Dusun Murut (KDM), sebagai contoh di kawasan Parlimen Penampang.
“Susulan pertambahan jumlah pengundi yang terlalu tinggi, situasi berkenaan juga secara tidak langsung memberi kesan terhadap parti-parti politik dalam pilihan raya kali ini (PRU15).
“Justeru saya meminta supaya SPR menjelaskan berhubung peningkatan mendadak jumlah pengundi di Sabah kerana jumlah tersebut amat-amat meragukan, ” katanya kepada Utusan Borneo apabila diminta mengulas mengenai isu peningkatan pengundi yang mendapat perhatian sebahagian pemimpin politik di Sabah.
Dalam perkembangan sama, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada Khamis turut mempersoalkan perkara yang sama berhubung peningkatan pengundi di Sabah dan meminta SPR memberi penjelasan tentang isu itu.
Hajiji berkata, pihaknya perlu mendapat penjelasan lanjut daripada SPR terlebih dahulu bagi mengenal pasti punca kepada isu lonjakan jumlah pengundi berkenaan, yang mana perkara itu mendapat perhatian serius para pemimpin parti politik di Sabah.
Baru-baru ini, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee mendedahkan daftar pemilih yang dikeluarkan oleh SPR menunjukkan peningkatan pengundi baharu sebanyak 53.9 peratus.
Katanya, jumlah berkenaan membabitkan jumlah pengundi seramai 1,064,686 orang pada 2008 kepada 1,638,806 orang tahun ini.
Beliau mendakwa lonjakan rekod jumlah pengundi terbabit berkemungkinan berpunca dari skandal ‘Projek IC’ yang sebahagian besar peningkatan itu berlaku antara 2018 hingga 2020 semasa pemerintahan kerajaan Parti Warisan (WARISAN).-pr/BNN