TENOM: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor meminta Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi penjelasan
berhubung lonjakan pengundi baharu di Sabah yang meragukan.

Katanya, perkara itu telah dibincang di Kabinet Negeri pada Rabu lalu dan meminta agar
SPR dan JPN memberi penjelasan pada Selasa depan.

Beliau berkata, lonjakan jumlah pengundi baharu yang terkandung dalam daftar pemilih
terbaharu yang dikeluarkan SPR di semua kawasan Parlimen di Sabah adalah
meragukan.

“Ada sesuatu yang meragukan kita dan kita sudah bincang di peringkat Kabinet pada
Rabu lalu. Kita minta penjelasan daripada SPR dan Pengarah JPN pada Selasa depan,”
katanya pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
Parlimen Tenom sempena Program Jelajah GRS Kawasan Tenom, di Dewan Datuk Seri
Panglima Antanom, Tenom, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti
Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Maximus Ongkili; Presiden Pertubuhan Kebangsaan
Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Penyelaras GRS Tenom,
Datuk Rubin Balang.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, lonjakan pengundi baharu yang
kebanyakannya didaftarkan sebagai Melayu dalam daftar pemilih terbaharu SPR
mungkin bukan berasal dari negeri ini atau Semenanjung.

Katanya, perkara yang meragukan itu perlu dijelaskan oleh SPR kerana ia bukan
sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Ini tidak boleh dipandang mudah. Orang lain nanti datang ke kawasan kita. Kita tidak
mahu orang dapat kuasa dari peti undi dengan cara ini, sebab itu kita buat laporan
dengan pihak yang berkenaan,” tegasnya.

Hajiji berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan SPR berhubung lonjakan jumlah
pengundi di Sabah selepas perkara itu dibangkitkan rakan parti dalam GRS, termasuk
Jeffrey.

 

Berdasarkan daftar pemilih terbaharu yang dikeluarkan SPR, Sabah kini mempunyai
1.68 juta orang pengundi berbanding 1.1 juta orang pada 2018 iaitu peningkatan 53.9
peratus.

Daftar pemilih yang diwartakan pada Julai lalu menunjukkan Parlimen Sepanggar
mencatat jumlah pengundi tertinggi dengan 107,463 pengundi, diikuti Lahad Datu
(99,741) dan Tawau (87,189).

Sementara itu, Hajiji mengumumkan Kerajaan Negeri akan mengeluarkan sebahagian
tanah dalam kawasan Sabah Forest Industries (SFI) untuk dijadikan rizab kampung
untuk rakyat.

“Kita akan mengeluarkan tanah itu bagi memastikan rakyat kita yang tinggal di kawasan
SFI mendapat kawasan perkampungan yang rasmi untuk anak cucu mereka,” katanya.
Hajiji juga meminta rakyat Sabah agar menolak parti pembangkang khususnya Warisan
dan konco-konconya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

“Undilah calon GRS supaya kita dapat melakukan yang terbaik dalam perjuangan
mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah. Supaya aspirasi rakyat
dapat kita tunaikan”.

“Tunjukkan melalui undi bahawa rakyat Sabah sudah sedar dan boleh bersatu dalam
GRS. Rakyat mesti menyokong dan mengundi calon-calon GRS, agar kita dapat
menang dengan cemerlang dalam PRU-15”, tegasnya.

Pada majlis itu juga, Hajiji menerima kemasukan lebih 1,000 penyokong Parti Warisan
dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang beralih menyokong GRS di Tenom.-pr/BNN