KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah hari ini menyelar tindakan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melantik syarikat lain mengendalikan perkhidmatan pengangkutan Baja Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Negeri Sabah dan penyewaan gudang,walaupun kontrak perkhidmatan kedua-dua pihak masih sah dan belum tamat.

Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah, Datuk Ng Loi Tect berkata, NAFAS telah melantik PPN Sabah mengendalikan kedua-dua perkhidmatan itu untuk tempoh 1 tahun bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022.

Beliau berkata, kedua-dua pihak telah menandatangan kontrak perjanjian bagi kedua-dua perkhidmatan itu dan PPN Sabah telah melaksanakan kerja-kerja tersebut sejak Januari 2022.

“Malangnya tanpa sebarang notis, sebab dan alasan kepada pihak PPN Sabah, NAFAS tiba-tiba sahaja telah melantik syarikat logistik lain mengendalikan kedua-dua perkhidmatan itu, sedangkan kontrak PPN Sabah hanya akan tamat pada 31  Disembark  2022”.

“Kami difahamkan syarikat logistik itu telah memulakan kerja-kerja menghantar baja-baja tersebut kepada PPK, bagaimana NAFAS boleh buat tindakan dengan adanya dua kontraktor bagi kerja yang sama dalam satu tempoh? ”.

“Justeru PPN Sabah memohon penjelasan daripada pihak NAFAS, kenapa berbuat demikian tanpa sebarang sebab dan notis kepada PPN Sabah. Tindakan NAFAS sangat tidak profesional”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ng mendakwa, situasi ini menggambarkan kemungkinan berlakunya unsur-unsur rasuah kerana syarikat logistik itu tiba-tiba sahaja dilantik oleh NAFAS menggantikan tugas dan peranan PPN Sabah, sedangkan kontrak perkhidmatan masih sah dan belum tamat tempoh.

Katanya, PPN Sabah merancang untuk mengambil tindakan undang-udang terhadap NAFAS berikutan pihak itu telah melanggar kontrak perkhidmatan.

“PPN Sabah juga merancang untuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) berikutan tindakan NAFAS yang membelakangkan kepentingan PPN”, tegasnya.-pr/BNN