KOTA KINABALU: Industri minyak sawit sedang menghadapi masa sukar disebabkan peningkatan kos buruh, baja dan operasi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, ini ditambah dengan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) yang turun naik dari
minggu ke minggu yang di luar kawalan pemain industri.

“Pada masa ini dengan harga MSM kini dalam jajaran RM3,500/Mt (metric ton) ke
RM4,000/Mt, akan mengakibatkan kurangnya hasil untuk negeri Sabah berbanding
awal tahun 2022”.

“Justeru, adalah amat penting pada masa ini untuk Lembaga Pengarah dan pasukan
pengurusan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terlibat dalam industri sawit terus
memantau dengan lebih teliti berkaitan kawalan kos operasi dan produktiviti pekerja”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Sabah Softwoods Berhad ke-137 di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.

Walau bagaimanapun katanya, Sabah Softwoods Berhad telah menunjukkan prestasi yang baik pada dua suku pertama 2022.

“Saya amat bangga diberitahu bahawa akaun syarikat Sabah Softwoods dari awal
tahun sehingga sekarang menunjukkan peningkatan hasil disebabkan oleh harga
MSM yang baik, walaupun pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) dan MSM tidak
mencapai sasaran yang kehendaki”.

“Saya ingin melihat supaya Lembaga Pengarah dan pasukan Pengurusan mencari
jalan dan kaedah untuk menyelesaikan masalah kekurangan buruh dan kekangan
logistik yang menghalang pengeluaran BTS”, kata Hajiji yang juga Pengerusi Sabah
Softwoods Berhad.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Negeri optimis, Sabah Softwoods yang berjaya
merekodkan hasil dan keuntungan lebih tinggi tahun ini boleh membayar lebih banyak
dividen kepada pemegang saham disamping memberi lebih banyak faedah dan manfaat kepada pekerja dari segi pembayaran gaji dan bonus.

Beliau juga mahu Lembaga Pengarah dan pasukan Pengurusan bertekad mencapai
yang lebih baik untuk maju kehadapan dan menggunakan segala sumber untuk lebih
proaktif dan produktif.

Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Sabah Softwood Bhd sempena Ulang Tahun
Ke-50 yang akan disambut dan diraikan pada tahun hadapan dan mendoakan ia terus mencapai kejayaan pada masa hadapan.

Terdahulu Hajiji melancarkan logo Ulang Tahun Ke-50 Sabah Softwoods Berhad. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Softwoods, Datuk Haji Mohd Daud Tampokong dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Haji Ghulamhaidar Khan Bahadar.-pr/BNN