KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan dan Perusahaan Kadayan Malaysia (DPPKM) menyifatkan Projek Keluli Hijau yang bakal dilaburkan oleh Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (ESTEEL Sabah) sebanyak hampir RM20 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) akan memberi limpahan ekonomi di daerah Sipitang.
Yang Dipertua DPPKM, Datuk Haji Osman Ahmed berkata pihaknya menyambut baik berkenaan projek tersebut ketika kunjungan hormat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC), Datuk Haji Harun Ismail di Wisma Innoprise, semalam.
“Alhamdulilah, kami telah diberi taklimat oleh  CEO SOGDC berkenaan ESTEEL Sabah yang akan melabur hampir RM20 bilion di SOGIP.
“Bagi pelaksanaan projek tersebut memerlukan 16,000 peluang pekerjaan untuk fasa satu dan 30,000 pekerja untuk fasa dua.
“DPPKM juga menyokong penuh hasrat SOGDC mengambil alih kawasan tapak kilang Sabah Forest Industries (SFI) untum dijadikan kawasan SOGIP.
“Sekiranya ini dilaksanakan, kami akan melihat akan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan dan ahli DPPKM juga bakal mendapat manfaat khususnya dari segi limpahan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Turut terlibat dalam kunjungan hormat terbabit, Timbalan Yang Dipertua DPPKM, Mohd Faizal Malik, Setiausaha, Zaleha Baha dan lima ahli lain.
Pada penghujung tahun lepas, media melaporkan satu perjanjian pajakan tanah telah dimeterai diantara SOGDC dan ESTEEL Sabah bagi Projek Keluli Hijau di SOGIP.
Pengerusi SOGDC, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata projek keluli hijau itu adalah projek membabitkan tiga fasa dengan nilai pelaburan keseluruhan AS$4.39 bilion, dan pembinaan bagi fasa pertama dijadual bermula pada suku keempat tahun ini dan dijangka siap pada 2025.-pr/BNN