Wujudkan Pusat Dialisis Di Tenom

0
KOTA KINABALU:  Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin  menyokong penuh hasrat dan cadangan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri,  YB Datuk James Ratib melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) untuk mewujudkan Pusat Dialisis di daerah-daerah yang mempunyai bilangan pesakit buah pinggang yang tinggi, termasuk di Tenom.
Dalam satu kenyataan akbar, beliau berkata dia selalu menerima aduan dan keluhan daripada warga Tenom yang sukar mendapatkan rawatan dialisis di daerah Tenom, yang berpunca daripada mesin rawatan sedia ada di Hospital Daerah Tenom tidak dapat menampung permintaan yang begitu ramai di daerah ini.
Menurut nya, memandangkan daerah Tenom dan daerah kecil Kemabong mempunyai ramai pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis (tiga hari rawatan dalam seminggu),  namun akibat kekurangan mesin dialisis di hospital kerajaan telah menyebabkan ramai pesakit tidak dapat menerima rawatan yang sewajarnya.
“Kekangan itu telah menyebabkan kebanyakan pesakit buah pinggang terpaksa ke Hospital Keningau, mahupun klinik swasta di Keningau untuk mendapatkan rawatan itu. Namun dengan kos rawatan yang sangat tinggi sehingga pesakit perlu membayar sebanyak RM200 untuk 1 sesi sahaja, amat membebankan pesakit buah pinggang dan keluarga mereka.”
“Malah yang lebih teruk lagi ialah apabila pesakit buah pinggang tidak meneruskan rawatan akibat kekangan dan masalah kewangan sehingga mereka menanggung kesakitan dan akhirnya meninggal dunia.”
“Saya sedia memberikan kerjasama kepada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan dan membantu sedaya yang mungkin agar sebuah Pusat Dialisis dapat segera diwujudkan di daerah Tenom,” katanya.
“Hasil pertemuan saya dengan YB Datuk James Ratib semasa menghadiri Majlis Hari Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan Negeri, Encik Stanley Chong baru-baru ini, beliau (YB Datuk James Ratib) telah bersetuju secara dasarnya agar Tenom diberikan keutamaan untuk mewujudkan Pusat Dialisis  pertama dibawah Kementerian beliau.”
“Saya berharap usaha ke arah mewujudkan Pusat Dialisis oleh Kementerian
Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri di Tenom dapat disegerakan, demi rakyat dan pesakit yang amat memerlukan rawatan hemodialisis.”
“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YB Datuk James Ratib yang peka dan tuntas menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya di daerah Tenom.”-pr/BNN