KOTA KINABALU: Warisan harus membuat kerja rumah mereka dan jangan mengelirukan orang ramai dalam hal undang-undang, kata Yong Yit Jee, seorang peguam dan pemimpin pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Selepas beberapa penglompatan ADUN, Warisan akhirnya menggesa undang-undang anti-lompat di Sabah diluluskan. Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua baru-baru ini berkata bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama di Malaysia dan mana-mana undang-undang yang tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan adalah ultra vires.
Yong, yang juga seorang ahli majlis tertinggi SAPP berkata, gesaan undang-undang anti-lompat diluluskan di Sabah adalah baik dan dialu-alukan, tetapi pemimpin Warisan harus bertanggungjawab apabila mengeluarkan kenyataan dan jangan mengelirukan orang ramai.
“Mereka harus membuat kerja rumah mereka terlebih dahulu dan sekurang-kurangnya mendapatkan nasihat undang-undang asas sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan undang-undang. Jangan mentafsir undang-undang sewenang-wenangnya, kalua tidak mereka akan menjadi bahan ketawa orang ramai.,” Yong mengingatkan.
“Orang mungkin tertanya-tanya apakah ketidakkonsistenan yang Datuk Loretto cakapkan. Perlembagaan Persekutuan terpakai kepada Ahli Parlimen manakala Perlembagaan Negeri Sabah terpakai kepada ADUN Sabah,” katanya.
“Sememangnya, Perlembagaan Persekutuan mengenai anti-lompat hanya terpakai kepada ahli-ahli parlimen. Jadi langsung tidak ada isu mana-mana undang-undang negeri yang kononnya tidak konsisten dengan undang-undang persekutuan.”
Namun begitu, Yong mengulangi gesaannya sebelum ini agar kerajaan negeri Sabah membentangkan undang-undang anti-lompat Sabah secepat mungkin. Semoga ia diluluskan dan disokong oleh semua ADUN sekarang agar pilihan pengundi dihormati dan seterusnya mewujudkan suasana politik yang stabil di Sabah.-pr/BNN