KOTA KINABALU: Warga peladang di Sabah dan seluruh negara mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri X, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) kepada RM500 per metrik tan bermula 9 Ogos.
Pengersi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah yang juga Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, pengumuman PM yang juga Menteri Kewangan menaikkan kadar SSHP daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuat kuasa 9 Ogos lalu sudah lama ditunggu oleh komuniti peladang seluruh Negara.
“Ini merupakan satu berita gembira kepada warga peladang di Sabah dan Seluruh Negara. PPN Sabah menyambut baik pengumuman PM X.
“Ya, ini merupakan kenaikan subsidi padi terbesar dalam sejarah yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan. Kenaikan terakhir kadar SSHP pernah dibuat oleh Anwar semasa beliau memegang jawatan Menteri Kewangan kira-kira 25 tahun dulu”.
“Anwar merupakan PM yang amat prihatin terhadap komuniti peladang khususnya para pesawah yang berjuang memastikan negara dan rakyat mempunyai bekalan padi, beras dan makanan yang mencukupi”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Anwar menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuat kuasa esok semasa merasmikan Majlis Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Perak di Dewan Kerian Lermai, Parit Buntar pada Selasa.
Turut dihadiri pada majlis itu ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Anwar berkata, dengan kenaikan itu pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per metrik tan yang akan meningkatkan pendapatan pesawah negara ini.
Mohd Nazri yang mengenali Anwar dari tahun 1992 lagi dan pernah bersama-sama dalam perjuangan dan berkawan baik bersama Anwar, mengenali Anwar seorang pemimpin yang bijak dan baik serta sentiasa mahu membantu rakyat dan mengangkat Negara Malaysia setanding dengan negara negara maju di Dunia.
Mohd Nazri turut mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Anwar yang menyambut Hari Jadi pada 10 Ogos, dengan doa semoga Anwar sentiasa dalam peliharaan Allah.
Sementara itu Anwar menyifatkan, peningkatan SSHP sebanyak RM140 yang diunjur itu membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion setahun, adalah satu-satunya kenaikan subsidi itu sejak kenaikan terakhir diumumkan kira-kira 25 tahun lalu.
Menyentuh mengenai isu yang sering menjadi rungutan pesawah iaitu berkenaan pemotongan permutuan beras (padi) basah, Anwar berkata, kerajaan akan mengawal keadaan itu dengan melatih pegawai di Jabatan Pertanian yang akan ditempatkan secara khusus di kilang padi.
“Ada komplen (aduan) mengenai kawalan pemotongan permutuan sebab kadangkala betul, tetapi kadangkala harga yang patut dipotong lima peratus tiba-tiba jadi 10 peratus.
“Saya sudah bincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang mana nanti kita akan melatih Pegawai Pertanian khusus yang akan ada di kilang-kilang swasta bagi memantau secara bebas.
“Ia supaya pengilang swasta tak potong beras basah ikut selera mereka, sebaliknya kena ada syarat tertentu. Berdasarkan perundangan, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) terpaksa beli beras basah (selaku pembeli akhir) kalau orang tak mahu beli dari pesawah, jadi Bernas kena membelinya,” katanya.
Mohd Nazri berkata, dengan kenaikan kadar SSHP, pendapat pesawah akan turut meningkat yang sekaligus dapat mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.
“Umum mengetahui kebanyakan pesawah kita terdiri daripada rakyat di kawasan luar bandar yang sering dikaitkan dengan kemiskinan. Kenaikan ini dapat membantu ekonomi keluarga mereka”, tegasnya.-pr/BNN