PUTATAN: Seni silat perlu diketengahkan secara serius oleh persatuan-persatuan seni silat di negeri ini supaya popularitinya setanding dengan seni mempertahankan diri yang lain, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, ini termasuklah untuk menarik minat generasi muda supaya meminati seni silat sebagai ilmu mempertahankan diri selain mengekalkan warisan pusaka bangsa itu secara turun temurun.

“Aktiviti persilatan di Sabah tidaklah serancak atau sehebat di Semenanjung kerana di
negeri ini seni mempertahankan diri seperti karate dan taekwando lebih mendominasi
masyarakat di Sabah.

“Fenomena ini harus diambil perhatian oleh persatuan-persatuan seni silat dan badan-
badan bukan Kerajaan yang lain, terutama persatuan-persatuan kebudayaan, agar menyelitkan aktiviti persilatan di dalam program yang dianjurkan.

“Saya menggalakkan anak-anak muda menceburi apa juga bidang berkaitan kesukanan, khususnya seni silat. Ia bukan hanya dapat mengisi masa lapang tetapi juga dapat menjauhkan diri daripada terjebak dalam aktiviti yang tidak berfaedah dan paling
penting sebagai benteng yang dapat mempertahankan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Sabah International Silat Festival 2023
(SISF2023) di Dewan Sri Putatan, di sini pada Ahad.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri
Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Dalam pada itu, festival silat antarabangsa ini juga tepat pada masanya, selain
pengunjung berpeluang melihat pelbagai seni silat tetapi juga festival ini mampu
mempromosikan negeri Sabah di mata dunia, sekali gus menarik pelancong berkunjung
ke negeri ini.

Justeru, beliau mengesyorkan agar penganjur mengadakan kerjasama dengan
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, negeri termasuk agensinya
untuk memasukkan Festival Silat ini ke dalam kalender sebagai satu lagi tarikan kepada
pelancong.

 

“Saya percaya menerusi festival seperti ini, ia boleh menarik ramai pelancong dari dalam
dan luar negeri berkunjung ke Sabah. Sebenarnya seni silat bukan hanya terdapat atau
dikenali di negara kita atau di Nusantara, tetapi juga mula terkenal di negara-negara
luar.

“Ramai individu asing, termasuk mereka yang berasal dari negara Barat, datang ke
Malaysia dan ke Indonesia, semata-mata untuk mendalami ilmu persilatan. Ini
menunjukkan bahawa seni silat adalah setanding dengan seni mempertahankan diri
yang lain,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri menerusi Kementerian Belia dan Sukan negeri amat
menggalakkan penyertaan anak muda dalam aktiviti riadah dan kesukanan termasuk
seni silat.

“Saya berharap festival seperti ini dapat mencungkil bakat muda dalam seni silat di
negeri ini, yang boleh diketengahkan untuk mengharumi nama negeri dan negara. Pada
masa akan datang,” katanya.

Sabah International Silat Festival itu dianjurkan oleh Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka
Ustaz Hanafi Sabah, selaku penganjur utama dengan kerjasama Kementerian
Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah; Pejabat Perutusan BIMP-EAGA
Sabah dan Persekutuan Silat Kebangsaan Negeri Sabah (PSS PESAKA Sabah).-pr/BNN