KOTA KINABALU: Syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah digesa melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967, mana-mana syarikat swasta atau GLC yang melaksanakan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah di
negara ini, boleh mendapat potongan cukai.

Menurutnya, berdasarkan peruntukan itu, syarikat-syarikat swasta layak memohon
mendapatkan potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan yang bersamaan
dengan amaun perbelanjaan yang dibuat.

“Justeru saya menggesa syarikat-syarikat swasta dan kerajaan di Sabah agar
mengambil peluang dan insentif pelepasan cukai itu dengan menganjurkan program
CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah bersama SPRM”.

“Ini secara tidak langsung dapat memberi manfaat dalam membantu menyemarakkan
budaya integriti dan benci rasuah di kalangan masyarakat negeri ini”, katanya ketika
merasmikan Program Kedai Jujur Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 di Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka pada Isnin.

Katanya, Kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada
SPRM dalam memerangi dan melaksanakan aktiviti pencegahan rasuah.
Beliau berkata, ini termasuklah menambahbaik tadbir urus dan sentiasa
memperkasakan integriti di peringkat penjawat awam hingga ke peringkat pelajar
sekolah.

Menurutnya, rakyat juga perlu memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya
kepada pihak SPRM, dalam membantu menyalurkan maklumat dan melaporkan
sebarang perlakuan rasuah serta salah guna kuasa yang berlaku.

“Ini penting supaya pelaku rasuah dikenakan tindakan undang-udang yang sewajarnya
agar ianya menjadi iktibar kepada masyarakat”, tambahnya.

 

Menyentuh Program Kedai Jujur, katanya ia merupakan kedai yang menjual barang-
barang “fast moving items” tanpa penjaga pada masa persekolahan. Pembeli terdiri daripada komuniti pelajar, guru, ibu-bapa dan orang awam yang akan memasukkan
bayaran berbentuk wang ke dalam tabung yang disediakan.

Beliau berkata, Kedai Jujur tidak bermotifkan keuntungan dan ianya lebih berlandaskan
pembelajaran berasaskan eksperimen yang mampu mendidik anak-anak bersikap jujur
untuk membayar dahulu sebelum mengambil barang yang diperlukan, kerana integriti.
Justeru katanya, Kedai Jujur merupakan salah satu inisiatif dalam mempersiapkan diri
pelajar-pelajar sekolah sejak kecil lagi dengan penerapan nilai-nilai murni.

“Tabiat bermoral seperti itu perlu diterapkan bermula dari alam persekolahan lagi,
supaya ia menjadi pegangan hidup apabila mereka dewasa kelak. Konsep kedai jujur
ini boleh dijadikan benteng utama di peringkat awal lagi, bagi menghalang pelakuan
pelajar sekolah tidak berintegriti kelak”, tegasnya.

Hajiji berkata, konsep Kedai Jujur tidak asing di negeri Sabah kerana ia sinonim dengan
‘gerai jualan tanpa penjaga’ yang boleh dilihat di tepi-tepi jalan di sepanjang jalan raya
di beberapa daerah di negeri ini.

Menurutnya, peniaga hanya meletakkan tabung khas untuk pelanggan yang singgah
membeli dan memasukkan bayaran ke dalam tabung tersebut, yang mana peniaga
hanya mengharapkan kejujuran daripada pembeli.-pr/BNN