KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin meminta agar kerajaan dan pihak bertanggungjawab untuk memberi perhatian kepada keperluan bagi memantau serta menaiktaraf keadaan tandas awam di seluruh negeri, seiring dengan keperluan perkembangan industri pelancongan negeri Sabah.
Katanya, tandas awam adalah perkara penting yang digambarkan sebagai imej yang diperhatikan dan dinilai terutamanya bagi sesuatu tempat dan premis perniagaan serta kediaman.
“Kita sering dengar orang-orang lama berkata, hendak tengok tahap pembersihnya seseorang itu, tengok saja tandasnya, bagaimana dia menjaga tandasnya, maka disitu kita dapat gambaran tahap kebersihan diri seseorang.
“Hal yang sama juga dengan kemudahan tandas awam kita tidak kira di lokasi tumpuan umum, premis perniagaan, premis jualan dan restoran, bahkan juga hotel serta rumah tumpangan yang sememangnya perlu dan penting untuk pemiliknya menyediakan kemudahan tandas yang bersih dan lengkap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada petang Isnin.
Menurut Amisah, aspek kebersihan tandas awam adalah cerminan yang akan diperkatakan oleh penggunanya, baik kita sendiri mahupun pelancong luar.
“Berdasarkan kajian World Toilet Organisation (WTO), sebuah bukan kerajaan (NGO), secara purata, seseorang individu menggunakan tandas sebanyak 2,500 kali setahun atau enam hingga lapan kali sehari.
“Bayangkan, betapa pentingnya fasiliti tandas dalam kehidupan harian kita.
“Namun, sejauh mana masyarakat kita meletakkan fasiliti ini sebagai satu keperluan harian yang sangat penting, dan seramai manakah di antara masyarakat kita yang mempunyai rasa kepunyaan terhadap kemudahan tandas awam yang disediakan?,” katanya.
Tambah Amisah lagi, kaedah terbaik untuk dilakukan adalah semua pihak perlu segera memikirkan kaedah terbaik untuk memupuk budaya dan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan tandas awam.
“Kita mesti mula dari sekarang, segera, secepatnya, kita didik dan pupuk amalan untuk menjaga kebersihan tandas awam, tidak kira dimana sahaja kita singgah untuk gunakan tandas awam, kita pegang kepada prinsip tandas awam adalah hak bersama dan semua pihak bertanggungjawab untuk memastikan kebersihan tandas awam, serta kemudahan yang sedia ada, dijaga dengan baik, untuk kesenangan bersama.
“Didik anak-anak kita, generasi kita yang akan datang, tentang kepentingan dan tatacara penggunaan tandas awam secara berhemah dan betul, bak kata pepatah, ‘melentur buluh biar dari rebungnya.
“Boleh dikatakan semua tempat awam ada tandas untuk kegunaan bersama, tidak kira yang disediakan secara percuma ataupun berbayar.
“Tapi yang menyedihkan adalah apabila keadaan kemudahan tandas awam di lokasi-lokasi ini, yang menjadi tumpuan ramai, ada kalanya tahap kebersihan serta kemudahannya belum mencapai tahap yang memuaskan, ini perlu diubah segera dan diatas segera oleh pihak terlibat, sama ada majlis perbandaran atau pihak persendirian pemilik premis,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Amisah juga menegaskan bahawa industri pelancongan Sabah yang pesat berkembang juga menjadi faktor keperluan untuk usaha menaiktaraf tandas awam segera dilakukan.
Katanya, pelancong asing akan menilai dan mungkin beranggapan negatif kepada masyarakat kita jika tandas awam yang dikunjungi mereka berada di tahap yang sangat tidak memuaskan.
“Kita ada pelbagai pusat tumpuan pelancong, tempat menarik, lanskap yang indah dan pemandangan yang mempesonakan.
“Namun, kemudahan asas yang penting ini, tandas awam, tidak mencapai tahap fasiliti serta kebersihan yang memuaskan, bayangkan, apa yang akan diperkatakan dan difikirkan oleh pelangcong luar ini, dan tanggapan itu akan terus diperkatakan sehingga mereka kembali ke negara asal mereka, secara logiknya, tidak mustahil,” tambahnya.
Amisah mencadangkan agar pihak kerajaan membuat pelaburan bagi infrastruktur tandas awam di kawasan tumpuan pelancongan dan kawasan bandar, serta penyelenggaraan berkala bagi memastikan sebarang kerosakan dapat dibaiki segera.
“Jika boleh, kita wujudkan amalan mesra alam dalam tandas awam kita di semua kawasan, kita kongsikan mesej positif yang dilekatkan di dinding tandas seperti peringatan penjimatan air, pam tandas selepas digunakan, gunakan paip air yang mengesan pergerakan (paip automatik) yang dapat menjimatkan air dan mengurangkan masalah pembaziran bila pili air tidak ditutup rapi.
“Selain itu, fasiliti tandas awam juga perlu mesra semua pengguna, termasuk golongan mereka yang kelainan upaya (OKU), dan mempunyai beberapa bahasa yang memudahkan pembacaan serta difahami oleh pelancong asing yang tidak fasih berbahasa kebangsaan (Bahasa Melayu) atau berbahasa Inggeris.
“Pintu tandas untuk tandas kegunaan OKU perlu lebih luas dan ruang dalam tandas juga perlu sesuai dengan saiz lebar kerusi roda mereka,” katanya lagi.
Amisah turut memberitahu dan mencadangkan kepada pihak kerajaan agar tindakan tegas dan denda diberikan kepada pesalah laku yang melakukan vandalisme atau kerosakan kepada tandas awam.
“Tindakan tegas juga perlu diambil bagi pengguna tandas awam yang tidak bertanggungjawab agar menjadi teladan kepada pengguna yang lain kerana kita sedang dalam usaha memupuk kesedaran sivik.
“Selain itu, pemantauan dan pemeriksaan perlu dilakukan di semua tandas awam, dengan tujuan untuk memberikan markah pernilaian seperti bintag, sebagai gred kualiti tandas awam, seperti yang dibuat untuk premis perniagaan makanan dan restoran secara pernilaian bintang gred A, B atau C.
“Tandas awam juga perlu dibuka untuk kegunaan orang awam secara sepenuh masa, 24jam sehari tujuh hari seminggu kerana tandas awam adalah satu keperluan asas yang perlu ada dan boleh diakses kegunaannya oleh semua, pada bila-bila masa dan keadaan sekalipun,” jelasnya lagi.
Amisah juga mencadangkan agar pihak majlis perbandaran mengambil kira elemen kebersihan dan kelengkapan fasiliti tandas awam bagi premis perniagaan dan restoran, khasnya untuk tujuan memperbaharui lesen perniagaan tahunan.
“Tandas awam mereka perlu dalam keadaan baik, jika tidak, majlis perbandaran perlu memeriksa dan menasihati mereka untuk menyelesaikan masalah tandas di premis mereka terlebih dahulu sebelum meluluskan permohonan mereka memperbaharui lesen perniagaan bagi premis mereka.
“Kita kena sediakan garis panduan yang turut memasukkan keperluan keadaan semasa tandas awam dalam premis perniagaan atau restoran para peniaga kita, dengan tujuan untuk memastikan keadaan tandas awam di premis tersebut, berada dalam keadaan baik dan memuaskan,” ujarnya lagi.-pr/BNN