KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu
Kerajaan Persekutuan memastikan kemudahan-kemudahan dan fasiliti-fasiliti
perubatan di Sabah berada di tahap yang optimal.

Katanya, Kerajaan Negeri juga maklum bahawa peralatan-peralatan yang ada di
hospital telah melebihi jangka hayat operasi dan mahu ianya digantikan dengan
peralatan perubatan yang baharu bagi memenuhi keperluan pelbagai disiplin
perkhidmatan baharu.

“Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk melihat lebih banyak fasiliti perubatan
dan hospital-hospital pakar dibangunkan serta penambahan doktor pakar agar rakyat di
negara ini menikmati kemudahan perubatan yang lebih selesa dan berkesan”.

“Ini termasuk penambahbaikan dan penaiktarafan klinik-klinik kesihatan awam di Sabah
dapat dipertingkatkan kerana ini akan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik
khusus untuk masyarakat di luar bandar negeri ini”, katanya pada Majlis Anugerah
Sedafiat Tahun 2023 di The Grand Ballroom, Magellan Sutera Harbour pada Isnin.

Katanya, dalam usaha untuk memastikan sektor kesihatan di negeri ini terus
dipertingkatkan, kerajaan negeri mengalu-alukan Belanjawan 2024 yang dibentangkan
Perdana Menteri pada Oktober lalu yang memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk
membina lima buah klinik kesihatan baharu termasuk di Pulau Mantanani, Kota Belud.

“Sesungguhnya keprihatinan Kerajaan Persekutuan amat dihargai kerana kemudahan
ini sudah lama dinantikan-nantikan oleh penduduk di pulau berkenaan”, katanya.
Hajiji berkata, Sedafiat Sdn.Bhd telah memainkan peranan yang amat penting sebagai
syarikat peneraju perkhidmatan sokongan di hospital bagi memastikan rakyat negeri ini
mendapat kemudahan kesihatan yang baik, sekaligus dapat menyumbang kepada
produktiviti.

Beliau berkata, sebagai penerajui perkhidmatan sokongan di hospital, menjadi
tanggungjawab warga Sedafiat untuk bersama-sama kerajaan dalam memberikan
perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang kepada rakyat, selain sentiasa menambah
baik tadbir urus syarikat.

 

“Saya merakamkan tahniah Sedafiat kerana melaksanakan Program Sedafiat
Technology Innovation & Creativity (STIC) yang mampu memberikan produktiviti serta
kualiti kerja yang bermutu tinggi untuk mempertingkatkan lagi penyampaian
perkhidmatan syarikat kepada masyarakat”, tegasnya.

Menurutnya, sepanjang perkhidmatannya, syarikat itu telah memberikan perkhidmatan
yang cemerlang sehingga menerima beberapa anugerah antaranya Prestasi Cemerlang
Perkhidmatan Sokongan Hospital bertaraf lima (5) bintang daripada Kementerian
Kesihatan Malaysia selama 6 tahun berturut-turut (tahun 2018 sehingga 2023), Sabah
Top Achievers Award 2019 (Industry Excellence in Hospital Support Services) pada
2019; Malaysia Top Achievers Award 2019 (Industry Excellence in Hospital Support
Services) pada 2019; The Brand Laureate 2022 Bumiputera Best Brands Awards pada
tahun 2022 dan The Brand Laureate 2022-2023 CEO OF THE YEAR, Integrated Facility
Management pada tahun 2023.

Hajiji berkata, melalui program Karnival Sukan Sedafiat yang disertai seramai 380 orang
kakitangan, menunjukkan warga Sedafiat mementingkan kesihatan tubuh badan dan
persekitaran yang sihat bagi mencapai kualiti pekerjaan.-pr/BNN